Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
353) KLINIK KESIHATAN DAN HOSPITAL
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nisbah Klinik Kesihatan dan Hospital di Selangor berbanding jumlah penduduk adalah sangat kritikal, apakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membina dan menambah klinik Kesihatan dan hospital di Selangor bagi mengatasi masalah ini?
Sehingga kini, terdapat 86 buah klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan primer dengan liputan penduduk di Selangor berjumlah 7.7 juta orang. Bagi setiap perancangan pembangunan di bawah Rolling Plan (RP) untuk Rancangan Malaysia (RMK) terdapat sebanyak 10 projek melibatkan klinik kesihatan dan hospital akan diangkat untuk pertimbangan di peringkat atasan pengurusan Kerajaan Persekutuan. Skop perancangan adalah untuk membina bangunan baru atau gantian fasiliti kesihatan sedia ada.Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 1 hingga 6 berdasarkan jumlah penduduk yang sedia ada. Untuk RMK 12 RP5 terdapat 2 Projek Cadangan Bina Baru Klinik Kesihatan Jenis 2 Bandar Seri Coalfield Kuala Selangor beserta kuarters dan Klinik Kesihatan Jenis 2 Bukit Sentosa Hulu Selangor berserta kuarters bersama Kompleks Kesihatan Daerah Hulu Selangor telah diangkat ke Pengurusan Tertinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pertimbangan. Buat masa ini terdapat 13 buah Hospital Awam KKM di pelbagai daerah di negeri Selangor iaitu 1 buah Hospital Negeri, 7 buah Hospital Berpakar Major, 2 Hospital Berpakar Minor dan 3 buah Hospital Tanpa Pakar yang menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Adalah dimaklumkan bahawa Projek Pembinaan Hospital Kapar sebagai Hospital Pakar Major yang diluluskan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada November 2026. Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut menerima kelulusan di bawah RMK-12 untuk menaik taraf fasiliti hospital bagi mempertingkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan seperti berikut:
- Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita & Kanak-Kanak);
- Pembinaan Dewan Bedah Dan CSSD Hospital Banting; dan
- Pembinaan Blok Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, JKNS mempunyai perancangan untuk menaik taraf semua fasiliti hospital KKM di negeri Selangor bagi meningkatkan kapasiti katil serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kepakaran. Pelan pembangunan fasiliti ini telah diselaraskan di dalam Pelan Induk Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Unjuran 20 Tahun (2023 – 2045) dan sedang dimuktamadkan di peringkat KKM.
Projek Pembinaan Hospital Sepang sebagai Hospital Pakar Major di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi merupakan perancangan pembinaan hospital baru di negeri Selangor dan telah disenarai pendek di peringkat JKNS dalam permohonan projek RP5 RMK12.
JKNS turut menyenarai pendek beberapa projek lain di bawah RP5 RMK12 untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di beberapa buah fasiliti hospital sedia ada bagi menambah baik penyampaian kesihatan seperti berikut:
- Pembinaan Blok Tambahan Dan Parkir Bertingkat Di Hospital Shah Alam;
- Pembinaan Bangunan Kompleks Farmasi Steril Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; dan
- Pembinaan Blok Tambahan Di Hospital Kuala Kubu Bharu.
Dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan dan pelan pembangunan fasiliti yang terancang, Jabatan ini yakin dan sentiasa komited dalam usaha untuk mempertingkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.