Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

230) KLINIK KESIHATAN AWAM

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan Klinik Kesihatan (KK) awam yang beroperasi di daerah Kuala Selangor.

    Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, pada masa ini, terdapat tujuh (7) buah Klinik Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan primer di daerah Kuala Selangor. Senarai Klinik Kesihatan tersebut adalah seperti berikut:

     

    Bil. Nama Klinik Kesihatan Kawasan DUN
    1. Klinik Kesihatan Kuala Selangor DUN Melawati
    2. Klinik Kesihatan Ijok DUN Ijok
    3. Klinik Kesihatan Jeram DUN Jeram
    4. Klinik Kesihatan Bestari Jaya DUN Ijok
    5. Klinik Kesihatan Bukit Cherakah DUN Jeram
    6. Klinik Kesihatan Tanjong Karang DUN Sungai Burong
    7. Klinik Kesihatan Sungai Tengi Kanan DUN Sungai Burong

     

     

    Bil. Senarai Klinik Desa (Perkhidmatan Ibu dan Kanak-Kanak Sahaja) 
    1. Klinik Desa Pasir Penambang
    2. Klinik Desa Bukit Belimbing
    3. Klinik Desa Assam Jawa
    4. Klinik Desa Kg. Kuantan
    5. Klinik Desa Raja Musa
    6. Klinik Desa Jaya Setia
    7. Klinik Desa Berjuntai Bestari
    8. Klinik Desa Sungai Gulang – Gulang
    9. Klinik Desa Sungai Sireh
    10. Klinik Desa Bagan Pasir
    11. Klinik Desa Parit Empat
    12. Klinik Desa Sg. Burong
    13. Klinik Desa Sri Tiram Jaya
    14. Klinik Desa Sawah Sempadan
    15. Klinik Desa Tiram Setia
    16. Klinik Desa Bukit Kuching
    17. Klinik Desa Bukit Badong
    18. Klinik Desa Bukit Kerayong
    19. Klinik Desa Sungai Sembilang
    20. Klinik Desa Bandar Puncak Alam

     

    Manakala Klinik Komuniti (KKOM) iaitu perkhidmatan bagi pesakit luar yang diselaras oleh Penolong Pegawai Perubatan terdapat di Bandar Puncak Alam dan Bandar Saujana Utama.

  2. Adakah terdapat apa-apa inisiatif daripada Kerajaan Negeri untuk menambah KK awam di daerah Kuala Selangor atau inisiatif penambahbaikan KK awam sedia ada?

    Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sekiranya terdapat isu berkaitan kemudahan fasiliti awam, walaupun hal berkaitan kemudahan dan ketersediaan fasiliti kesihatan awam merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan pihak JKNS berhubung cadangan bagi menambahbaik fasiliti kesihatan sedia ada tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri.

    Berdasarkan data daripada JKNS, status semasa berkaitan pembangunan dan penambahbaikan KK di daerah Kuala Selangor adalah seperti berikut:

    1. Permohonan bagi pembangunan KK baharu di Bandar Seri Coalfields telah diluluskan dalam permohonan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12);

    2. Permohonan menaik taraf KK seperti berikut:

    • KK Kuala Selangor kepada KK Jenis (Type) 2; dan
    • Permohonan menaik taraf KK Tanjung Karang kepada KK Jenis (Type) 3.

    3. Penambahbaikan kepada KK dan Klinik Desa (KD) telah dilaksanakan pada tahun 2024 untuk memberi keselesaan kepada pesakit dan perawat di daerah Kuala Selangor melibatkan peruntukan berjumlah RM2,590,623.00. Senarai fasiliti kesihatan terlibat adalah seperti berikut:

     

    1. KK Kuala Selangor;
    2. KK Bestari Jaya;
    3. KK dan kuarters Jeram;
    4. KK Ijok;
    5. KK Bukit Cherakah;
    6. KD Bukit Badong;
    7. KD Bagan Pasir; dan
    8. KD Bukit Belimbing.

     

  3. Apakah inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberikan perkhidmatan kesihatan khususnya untuk kumpulan berpendapatan rendah dan warga emas?

    Pelbagai bantuan kesihatan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat Negeri Selangor, terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan dan warga emas. Antara program tersebut adalah Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang memberi manfaat kepada lebih daripada 900,000 orang rakyat Negeri Selangor melalui rawatan kesihatan percuma di 1,982 klinik dan 48 hospital panel di seluruh Negeri Selangor sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2017. Program ISS menawarkan tiga manfaat utama seperti berikut:

     

    1. Rawatan pesakit luar (out – patient) di klinik panel berjumlah RM500 setahun bagi kategori Keluarga dan RM250 setahun bagi kategori Individu dan Warga Emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU);
    2. Manfaat tambahan seperti kematian semulajadi dan penyakit kritikal yang berjumlah sehingga RM5,000; dan
    3. Manfaat hospitalisasi berjumlah sehingga RM10,000 setahun.

     

    Selain itu, terdapat juga program Bantuan Sihat Selangor (BSS) bagi mendapatkan bantuan kesihatan dan perubatan seperti rawatan dialisis, katarak mata, pembedahan kecil mahupun alatan perubatan seperti susu dan lampin dewasa.

     

    Menyedari kos bagi rawatan jantung adalah tinggi, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor menawarkan bantuan pembiayaan rawatan jantung berjumlah sehingga RM50,000.00 kepada dua kategori kumpulan iaitu bagi pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 yang penerima Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan pendapatan isi rumah sehingga RM8,000 bagi bukan penerima ISS.

    Bagi aspek pencegahan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Selangor Saring dan Selangor Kanser yang menawarkan saringan asas dan kanser terpilih secara percuma. Antara jenis saringan yang terlibat adalah seperti berikut:

     

    • Saringan asas: Fizikal, urin dan darah;

     

    • Saringan kanser: Kolorektal, mammogram, prostat dan pangkal rahim;

     

    • Saringan tambahan: Telinga, fisioterapi, gigi dan mata.

Lampiran

Tiada Lampiran.