Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
58) KLINIK KESIHATAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan di Lembah Jaya, termasuk penambahan klinik atau menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, fasiliti kesihatan yang terdapat di DUN Lembah Jaya adalah Klinik Kesihatan Ampang dan Klinik Komuniti Taman Sri Watan.
Setakat ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah cuba untuk mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan Klinik Kesihatan yang baru namun tiada tempat (tanah/ bangunan) yang boleh disewa atau dibeli di bawah DUN Lembah Jaya. Selain daripada itu, bangunan sedia ada Klinik Kesihatan Ampang telah dinaik taraf secara berfasa menggunakan peruntukan pembangunan bagi memberi keselesaan kepada pesakit dan petugas kesihatan seperti menaik taraf sistem penyaman udara, pendawaian elektrik dan bangunan tambahan untuk farmasi serta stor tempat penyimpanan ubat farmasi.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga mengambil maklum tentang keperluan peningkatan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan Lembah Jaya. Buat masa ini, kawasan Lembah Jaya tidak mempunyai tapak klinik yang khusus tetapi terdapat fasiliti kesihatan berdekatan yang boleh diakses oleh penduduk kawasan ini.
Pada tahun 2024, klinik ini telah melaksanakan Projek Kerja-kerja Naiktaraf Stor Ubat Farmasi dan Klinik Pergigian bernilai RM108,530.00 untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di klinik tersebut.
Hospital awam yang berdekatan dengan DUN Lembah Jaya adalah Hospital Ampang. Pada tahun 2024, dua kerja naik taraf telah dilaksanakan di hospital Ampang iaitu Kerja-Kerja Naik Taraf Penyaman Udara Precision Air Conditioning (PAC) di Bilik Server Unit Teknologi Maklumat bernilai RM797,500.00 dan Kerja-Kerja Naiktaraf Ruang Menunggu Lobi Utama Bersebelahan Unit Hasil bernilai RM49,520.00. Bagi tahun 2025, dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pesakit, sebanyak RM200,000.00 telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk Kerja-kerja Pengubahsuaian Kaunter Pendispensan Farmasi Pesakit Luar Dan Kaunter Vital Sign Di Lobi Utama Hospital Ampang.