Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

72) KITAR SEMULA KACA, LOGAM, PLASTIK, SISA ORGANIK DAN SEBAGAINYA

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah KDEBWM mempunyai sebarang projek kitar semula khas kaca, logam, plastik, sisa dapur/organik dan sebagainya?

    KDEB Waste Management (KDEBWM) sememangnya mempunyai perancangan yang besar untuk memperkasakan inisiatif kitar semula selaras dengan matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015, di New York, Amerika Syarikat untuk dicapai pada 2030 sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan Bumi. KDEBWM kini mempunyai dua (2) buah pusat kitar semula di Jalan Korporat, Meru dan di Jalan Bukit Puchong. Kedua-dua pusat kitar semula ini mampu mengendalikan barang-barang kitar semula sehingga 20 tan sehari. Pada tahun lalu, kedua-dua pusat kitar semula ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 3,704 tan barang kitar semula. Pusat kitar semula ini menerima pelbagai barang kitar semula seperti plastik, kertas,aluminium, besi, e-waste dan minyak masak terpakai. Dari 3,704 tan barang kitar semula yang berjaya dikumpulkan, tiga kategori barang kitar semula yang tertinggi adalah plastik (49%), kertas (29%), besi (19%) dan baki 3% lagi adalah dari pelbagai bahan kitar semula lain.

    Bagi merancakkan inisiatif kitar semula ini, KDEBWM mensasarkan untuk membina sekurang-kurang satu (1) pusat kitar semula di setiap PBT. Untuk tahun ini, KDEBWM berhasrat untuk mewujudkan lima (5) pusat kitar semula dan kini di dalam proses untuk mengenalpasti lokasi yang bersesuaian. Berkenaan dengan projek kitar semula yang memberikan fokus yang spesifik terhadap barang-barang tertentu, KDEBWM kini menerima hampir semua barang kitar semula kecuali kaca dan sisa dapur/organik. KDEBWM sedang di dalam proses untuk mengenalpasti rakan strategik yang bersesuaian sebagai off- taker bagi membeli dan memproses kaca dan sisa dapur/ organik serta barang-barang lain yang berpotensi untuk dikitar semula. KDEBWM mengalu-alukan sebarang cadangan dan bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak bagi menjayakan inisiatif kitar semula ini demi menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang bersih dan mampan.

Lampiran

Tiada Lampiran.