Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

317) KILANG TANPA KEBENARAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan prestasi Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran dari 2008 hingga kini.

    Prestasi Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran dari 2008 hingga kini masih boleh diklasifikasikan berjaya sepenuhnya kerana pelaksanaan program pemutihan atau penyelesaian kilang tanpa kebenaran (KTK) di Negeri Selangor sejak 31 Julai 2006 telah disambung sebanyak tujuh (7) kali sehingga ia telah ditamatkan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pada 31 Disember 2020. Berdasarkan rekod urus setia Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Negeri Selangor yang dikemas kini sehingga 27 Oktober 2023 iaitu bagi tempoh 2006-2023, terdapat 5,628 lot tanah hakmilik atau 7,221 buah kilang dan 257 lot tanah kerajaan atau 260 buah kilang dalam senarai inventori KTK yang telah dibanci oleh semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor. Namun, daripada jumlah tersebut, hanya 415 permohonan tukar syarat nyata tanah atau 7.37 peratus telah diterima oleh PDT yang berkaitan. Sebanyak 356 permohonan telah diluluskan, manakala 56 ditolak dan tiga (3) masih dalam tindakan kelulusan. Di peringkat PBT pula, hanya 1,476 buah kilang yang telah memohon atau mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang, 537 permohonan / kelulusan Pelan Bangunan, 136 permohonan / kelulusan Permit Bangunan Sementara, 207 permohonan / kelulusan CCC, dan 3,038 permohonan / kelulusan Lesen.

  2. Apakah langkah-langkah penambah baikan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah Kilang Tanpa Kebenaran?

    Pelbagai langkah-langkah penambah baikan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah Kilang Tanpa Kebenaran. Hal ini kerana kerana implikasinya yang besar terhadap perkembangan dan pembangunan fizikal, sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar di Negeri Selangor. Oleh sebab program penyelesaian KTK telah tamat sepenuhnya pada 31 Disember 2020, tumpuan PBN kini adalah terhadap inisiatif Kerajaan Negeri melalui PDT dan PBT untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan perundangan yang sedang berkuatkuasa dan garis panduan yang telah disediakan, merujuk kepada bidang kuasa masing-masing.

    Namun demikian, melalui Jawatankuasa Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (JK KTK) Negeri Selangor dibawah kelolaan UPEN (SPBT) bersama PTGS, Pihak Berkuasa Negeri mengambil langkah menyambung semula Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran ini dengan mengadakan bengkel perbincangan bersama pegawai-pegawai dari semua Pejabat Tanah Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi-Agensi berkepentingan, bagi menentukan hala tuju program ini melalui insentif yang bakal ditawarkan secara “carrot & stick”. Ianya merupakan sebuah gabungan tindakan tawaran insentif dan tindakan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas semua yang terlibat dalam program ini. Kerajaan berharap dengan tawaran “carrot & stick” ini, dapat menarik lebih banyak peserta Kilang Tanpa Kebenaran untuk menukar syarat tanah dalam tempoh yang ditetapkan. Kertas Cadangan untuk mendapatkan kelulusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Lampiran

Tiada Lampiran.