Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

169) KILANG TANPA KEBENARAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan kini program pemutihan kilang tanpa kebenaran?

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) di Negeri Selangor telah berakhir pada 31 Disember 2020. Selaras dengan penamatan Program Pemutihan KTK di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dan akan menyusulinya dengan proses tindakan penguatkuasaan mulai Januari 2022 berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan yang sedang berkuatkuasa oleh pihak PDT dan PBT masing-masing.

    Untuk makluman Yang Berhormat, tindakan penguatkuasaan ini akan dilaksanakan terhadap mana-mana pemilik tanah atau pengusaha kilang tanpa kebenaran yang gagal atau tidak membuat permohonan untuk menukar syarat nyata tanah bagi tujuan menjalankan aktiviti industri atau ke atas struktur bangunan kilang yang didapati dan dikenal pasti telah melanggar syarat kegunaan tanah sepertimana yang dinyatakan dalam dokumen hakmilik (geran). Tindakan penguatkuasaan ini juga akan dilaksanakan terhadap pemilik tanah atau pengusaha kilang yang gagal meremedikan atau memulihkan tanahnya untuk kembali kepada keadaan asal dalam tempoh masa yang diberikan oleh Pentadbir Tanah Daerah.

  2. Bagaimana kerajaan dan peniaga boleh manfaat dalam program ini?

    Melalui program yang diperkenalkan ini, pihak pengusaha kilang yang telah dibanci dan disenaraikan sebagai peserta Program KTK oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah layak menerima manfaat serta pakej insentif yang telah ditawarkan mengikut kategori kegunaan tanah yang diluluskan serta pengenaan / pemakaian syarat teknikal minima daripada agensi teknikal berhubung proses mendapatkan kelulusan pemajuan dan pembangunan (seperti Kebenaran Merancang) di PBT.

    Pihak kerajaan juga telah mendapat faedah yang banyak daripada Program Pemutihan KTK. Inisiatif ini menjadi platform bagi Kerajaan Negeri Selangor untuk memutihkan kawasan-kawasan tanah yang didapati telah melakukan pelbagai aktiviti yang melanggar kategori dan syarat nyata tanah, selain menambah jumlah hasil pendapatan negeri melalui kutipan premium tambahan dan permit yang dibenarkan. Segala aktiviti perindustrian yang dijalankan di sesuatu kawasan juga menjadi lebih teratur dan terkawal.

  3. Apakah tindakan untuk membantu pemilik tanah yang tidak mempunyai kemampuan untuk menyertai program ini?

    Melalui Program Pemutihan KTK yang telah diperkenalkan selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor Bilangan 2/2019 sebelum ini, terdapat banyak kelonggaran dan insentif yang diberikan kepada pemilik atau pemohon yang mengemukakan permohonan tukar syarat. Antara bantuan atau insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada pemilik tanah atau pengusaha kilang adalah dengan pengenaan bayaran premium secara nominal berserta kaveat terhadap mana-mana individu yang tidak mampu untuk membayar premium penuh. Selain itu, dengan kadar-kadar insentif yang telah diberikan sebelum ini, pemilik tanah atau pengusaha kilang juga diberikan tawaran potongan atau diskaun pada kadar maksimum sehingga 30% bagi yang menjelaskan bayaran premium dalam tempoh masa dua (2) bulan dari tarikh Borang 7G yang diberikan.

     

    Tambahan juga, bagi membantu atau memudahcara pemilik tanah atau pengusaha kilang yang tidak mempunyai kemampuan untuk menyertai program tersebut, mereka telah diberikan ruang dan masa untuk mencari tapak yang baharu bagi memindahkan aktiviti industri yang sedang diusahakan ke tempat / tapak yang lebih sesuai dengan pelan perancangan kawasan yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, pemilik atau pengusaha kilang juga telah diberikan keistimewaan dengan pemakaian syarat teknikal minima bagi mana-mana pemilik atau pengusaha yang tidak mampu memenuhi syarat-syarat asal yang ditetapkan oleh jabatan teknikal yang berkaitan. Walau bagaimanapun, syarat teknikal minima ini tidak membelakangkan syarat-syarat asal yang telah ditetapkan dan bergantung kepada jenis industri yang dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.