Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

88) KILANG TANPA IZIN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kilang yang terlibat dalam program perputihan kilang tanpa izin di dalam DUN Bandar Baru Klang?

    Berkaitan dengan program pemutihan kilang tanpa izin, tiada maklumat terperinci mengikut DUN bagi jumlah keseluruhan kilang yang terlibat. Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan kilang yang terlibat dalam Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) dalam Daerah Klang adalah sebanyak 505 buah kilang dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam dan sebanyak 2011 buah kilang dalam Majlis Bandaraya DiRaja Klang.

  2. Berapakah jumlah kilang yang telah diluluskan sehingga kini?

    Mengikut rekod yang dikemaskini sehingga 27 Oktober 2023, sebanyak 5,628 lot tanah hak milik ataupun 7,221 buah kilang dan 257 lot Tanah Kerajaaan atau 267 buah kilang telah dibanci dan disenaraikan oleh PBT, namun hanya 415 sahaja permohonan tukar syarat tanah yang diterima oleh Pejabat Daerah/Tanah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 356 permohanan telah diluluskan, manakala 56 ditolak dan 3 masih dalam tindakan. Jumlah hasil kutipan Negeri iaitu bayaran premium tambahan dan permit khas yang telah berjaya dipungut susulan pelaksanaan program ini adalah sebanyak RM190,412,339. Di peringkat PBT pula, hanya sejumlah 1,476 kilang yang memohon atau mendapat Kebenaran Merancang, 537 mendapat kelulusan pelan bangunan, 136 permohonan kelulusan permit bangunan sementara, 207 permohonan CCC dan 3,038 permohonan kelulusan lesen.

  3. Apakah sebab- sebab kilang tidak dapat kelulusan bagi perputihan ?

    Didapati kurangnya kesungguhan pemilik untuk menyertai Program Penyelesaian KTK yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Negeri sejak 2006 atas pelbagai sebab dan kekangan. Antaranya kedudukan kilang berada di luar zon industri, masalah pemilikan hakmilik samada pemilikan yang ramai atau pemilik kilang hanya menyewa tapak, kos-kos permohonan yang agak tinggi dan jika ada permohonan yang dikemukakan ia masih tidak mengikut garis panduan syarat teknikal minima yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.