Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

138) KILANG HARAM DI KAWASAN DUN SUBANG JAYA

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan kilang-kilang haram yang terletak di dalam kawasan dun Subang Jaya dan berikan butir-butir seperti lokasi, keluasan dan tarikh pembinaan.

    awapan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya

  2. Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah ini?

    1. Langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menangani masalah kilangkilang haram di DUN Subang Jaya berkait secara langsung dengan Dasar Pemutihan KilangKilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor.

     

    Di bawah dasar tersebut Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada kumpulan sasaran yang terlibat untuk memutihkan (legalize) operasi mereka dengan cara memohon pertukaran kategori dan syarat nyata tanah daripada pertanian kepada industri serta mendapatkan juga kelulusan bagi bangunan-bangunan / premis yang digunakan oleh pengusaha daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

     

    Tempoh yang diberikan kepada pengusaha dan pemilik tanah untuk kawasan berkaitan ialah empat (4) tahun sehingga tahun 2010.

     

    Dalam konteks ini, Pihak Berkuasa Negeri telah membuat keputusan berikut:-

     

    1. Penurunan kuasa kepada Pentadbir Tanah bagi permohonan tukar syarat oleh kumpulan sasaran; dan
    2. Mengarahkan one-stop center (OSC) ditubuhkan di peringkat Pejabat Tanah Daerah bagi tujuan yang tersebut di para (i).

     

    Sementara tuan-tuan tanah mendapatkan kelulusan tukar syarat / memindah premis ke kawasan yang dibenarkan, mereka akan dipertimbangkan permit khas sementara dengan bayaran RM1,000 setahun. Manakala, dari segi aspek tanah dan keperluan perundangan Pihak Berkuasa Tempatan, mereka akan diluluskan lesen sementara.

     

    Kerajaan Negeri telah meluluskan insentif-insentif di bawah Dasar Pemutihan Kilang-Kilang Tanpa Kebenaran melibatkan perkara-perkara berikut:-

     

    • Pengurangan Premium Tambahan

    Pemberian potongan sebanyak 50% bagi bayaran yang dibuat dalam tempoh tiga (3) bulan atau 30% bagi bayaran yang dibuat dalam tempoh enam (6) bulan atau 10% bagi bayaran yang dibuat dalam tempoh sembilan (9) bulan kepada pemilik tanah yang menjelas premium secara sekaligus atau ansuran dalam tempoh tersebut.

     

    • Bayaran premium secara ansuran

    Pemilik tanah dibenarkan membayar premium secara ansuran sebanyak dua belas (12) kali dalam tempoh lapan belas (18) bulan atau dua puluh empat (24) bulan dari tarikh Borang 5A atau 7G dikeluarkan bagi permohonan yang baru diluluskan atau mengikut baki tempoh yang ada dalam Borang 5A atau 7G yang dikeluarkan bagi permohonan yang telah diluluskan terdahulu.

     

    • Pengecualian premium khas

    Pemilik tanah dikecualikan daripada dikenakan premium khas atau denda yang telah ditetapkan di bawah Kaedah 11(6), Kaedah–Kaedah Tanah Selangor 2003 kepada pemilik tanah yang melanggar syarat kegunaan tanah.

     

    • Pelanjutan tempoh pajakan atas syarat guna tanah pertanian bagi tanah bertempoh pajakan kurang lima belas (15) tahun

    Permohonan perlanjutan tempoh pajakan atas syarat guna tanah pertanian yang mempunyai baki tempoh pajakan kurang 15 tahun diluluskan atas kegunaan industri dan permium dikenakan berdasarkan nilaian tanah semasa serta diberi pengurangan premium sebanyak 50 peratus. Pengurangan ini dikecualikan bagi mereka yang telah mendapat insentif pengurangan premium tambahan.

     

    • Insentif Dari PBT

    Resolusi berkenaan Insentif untuk kilang-kilang tanpa kebenaran bagi memastikan kilang-kilang ini dapat beroperasi secara sah hendaklah digunapakai.

     

    1. Sediakan pelan induk infra.
    2. Premium dibayar ansuran dalam tempoh ditetapkan.
    3. Kebenaran merancang (KM) dan pelan bangunan diproses serentak.
    4. Denda KM digugurkan.
    5. Denda Pelan Bangunan dikurangkan 5 kali jika pelan bangunan dikemukakan sebelum 31 Disember 2005.
    6. Bayaran denda boleh dibuat beransur-ansur mengikut jumlah seperti di bawah:-
    • Kurang RM10 ribu dibayar beransur-ansur sebelum CF dikeluarkan;
    • RM10 – RM50 ribu mempunyai bank guaranty dan dijelaskan dalam masa 6 bulan; dan
    • Lebih RM50 ribu mempunyai bank guaranty dan dijelaskan dalam masa setahun.

     

    1. Denda pelan kejuruteraan dikecualikan jika dikemukakan sebelum 31 Disember 2005.
    2. Pelan Taman dikecualikan.
    3. Sekiranya pelan induk telah disediakan ulasan jabatan JKR dan JPS dikecualikan.
    4. Sekiranya tiada pelan induk ulasan dari TNB, Syabas dan Telekom dikecualikan jika mengikut use class order.
    5. Sumbangan infra akan dikecualikan apabila:-
    • Pemaju menyediakan sendiri infra berkaitan mengikut spesifikasi yang ditetapkan; dan
    • Infra berkaitan sedia ada telah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

     

    • Penurunan Kuasa

    Bagi mempercepatkan dan memudahkan proses permohonan tukar syarat, kuasa melulus permohonan tukar syarat di bawah seksyen 124(1)(a) dan (c), 124A dan 204A, Kanun Tanah  Negara bagi kilang-kilang tanpa kebenaran diturunkan kepada Pentadbir Tanah Daerah  tertakluk  kepada kilang-kilang yang berada di dalam zon yang ditetapkan.

     

    • Pengenaan Syarat Teknikal Minima

    Garis panduan Syarat Teknikal Minima digunapakai oleh semua PBT di Selangor sebagai rujukan bagi meluluskan permohonan tukar syarat tanah untuk kilang–kilang tanpa kebenaran. Syarat Teknikal Minima ini akan digunapakai sebagai rujukan sepanjang program pemutihan ini dijalankan.

     

    • Program ‘Outreach’

    Program ini dijalankan bagi memberi penerangan tentang program pemutihan serta mendekatkan pihak berkuasa berkaitan dengan pemilik-pemilik tanah dan pengusahapengusaha kilang tanpa kebenaran. Di antara program ‘outreach’ ialah pengedaran brosur-brosur kepada  pemilik-pemilik tanah dan pengusaha-pengusaha kilang tanpa kebenaran, program turun padang oleh pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat secara langsung di dalam program pemutihan dan memberi khidmat nasihat dan bantuan di dalam melengkapkan borang-borang permohonan tukar syarat.

     

    • Pengecualian Caruman Infrastruktur Sosial

    Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi pengecualian daripada dikenakan caruman infrastruktur sosial sebanyak RM50,000.00 seekar bagi kawasan Lembah Klang dan RM35,000.00 seekar bagi kawasan di luar Lembah Klang.

     

    • Pengeluaran Permit Khas Sementara

    Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk mengeluarkan suatu permit khas bagi penggunaan sementara tanah-tanah pertanian yang didirikan kilang-kilang tanpa kebenaran. Kuasa bagi meluluskan permit ini telah diturunkan kepada PTD dan permit-permit akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah yang berkenaan untuk tempoh tidak melebihi satu (1) tahun. Permit tersebut juga hanya boleh diperbaharui sebanyak tiga (3) kali sahaja. Dalam masa tersebut tuan tanah hendaklah membuat permohonan secara teratur di bawah seksyen 124 KTN atau 124A KTN atau tindakan perampasan tanah boleh dibuat.

     

    • Pengeluaran Lesen Perniagaan Sementara

    Pihak Berkuasa Tempatan juga akan mengeluarkan lesen perniagaan sementara (trade license) kepada pengusaha / pemilik kilang yang telah dikenalpasti.

     

    • Pelarasan Cukai Tanah

    Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan pelarasan cukai tanah bagi memberikan kesahan undang-undang atau pemutihan kepada aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pelanggaran syarat tanah di atas tanah hakmilik yang kategori bangunan kediaman tetapi telah dibenarkan beroperasi melalui lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh PBT.

     

    • Pelanjutan Tempoh Pemutihan

    Pelaksanaan program pemutihan ini dijangka berakhir pada akhir tahun 2007.  Namun begitu, MMK Ke 3/2008 pada 30 Januari 2008 telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pemutihan sehingga akhir tahun 2010 untuk memberi peluang kepada pengusaha kilang / tuan tanah terus beroperasi secara sah dan mampu menyumbang ke arah pembangunan ekonomi masyarakat setempat khususnya dan Negeri Selangor amnya.   Selain itu, program ini juga dapat mewujudkan keadaan atau suasana kilang yang lebih teratur, selamat dan terancang.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.