Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

174) KILANG HARAM

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kilang haram yang ada dalam Selangor mengikut PBT.

    Jumlah kilang haram yang yang direkodkan oleh PBT seluruh Negeri Selangor adalah sebanyak 2,974 buah kilang. Pecahan mengikut PBT adalah seperti berikut:-

    BIL. PBT Jumlah bilangan kilang haram
    1. MBSA 967
    2. MPK 671
    3. MPKj 389
    4. MPSJ 310
    5. MPAJ 192
    6. MDKL 176
    7. MPS 114
    8. MPSp 55
    9. MDHS 49
    10. MBPJ 20
    11. MDSB 22
    12. MDKS 9
    JUMLAH 2,974

                *Sumber: Semua PBT Negeri Selangor

  2. Nyatakan SOP yang ada oleh PBT untuk menutup kilang haram dan tempat pembuangan sampah haram.

    Bagi menangani isu kilang haram, antara kaedah yang digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menutup kilang haram adalah dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada iaitu:-

     

    1. Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172);
    2. Akta Parit, Jalan dan Bangun 1974 (Akta 133);
    3. Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171); dan
    4. Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian 2007.

     

    Selain itu, kaedah yang digunakan buat masa ini adalah, PBT akan melaksanakan dasar baru yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 24/2019 bertarikh 21 Ogos 2019 yang disahkan oleh MMKN Ke 25/2019 bertarikh 28 Ogos 2019 iaitu Program Pematuhan Syarat Dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Negeri Selangor melalui Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor Bilangan 2 Tahun 2019. Pemilik tanah hendaklah memulihkan tanah dengan cara menjalankan aktiviti tanah mengikut kategori penggunaan tanah seperti dalam hak milik atau menukar syarat kegunaan tanah mengikut aktiviti semasa dalam tempoh setahun bermula pada 1 Oktober 2019 sehingga 30 September 2020. Dalam tempoh ini, pengusaha kilang / pemilik tanah akan diberikan lesen perniagaan sementara oleh PBT. Selepas tempoh setahun berakhir dan pemilik masih belum membuat apa-apa permohonan, Notis 7B akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) sehingga proses rampasan tanah dilaksanakan (tindakan penguatkuasaan).

    Manakala kaedah yang digunakan dalam menangani tapak pelulusan sampah haram, PBT dengan kerjasama PDT akan melaksanakan Tindakan Penguatkuasaan Secara Bersepadu Bagi Menangani Tapak Pelupusan Dan Pembuangan Sampah Haram Di Negeri Selangor mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang diperkenalkan melalui Arahan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor (PTGS) Bil.1/2019. SOP ini adalah bagi menyeragamkan tindakan dan panduan kepada semua pegawai dan kakitangan unit atau bahagian penguatkuasaan di Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas tapak pelupusan sampah haram.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.