Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

237) KILANG HARAM

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pihak PBT dapat mengenal pasti kilang-kilang yang beroperasi secara haram?

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sentiasa melaksanakan pemantauan berkala di seluruh Negeri Selangor bagi memastikan kilang-kilang yang beroperasi mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Di Pejabat Tanah, bagi menentukan samada kilang-kilang yang beroperasi secara haram atau tidak adalah melalui semakan status tanah di mana struktur kilang tersebut berada. Sekiranya status tanahnya adalah tanah hakmilik, kategori kegunaan dan syarat nyata tanahnya hendaklah didaftarkan sebagai ‘INDUSTRI’, manakala di atas Tanah Kerajaan pula sudah tentu mereka perlu mempunyai dokumen kebenaran yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi tujuan menjalankan aktiviti perkilangan. Selain daripada itu, adalah penting bagi PDT memastikan tiada kilang yang dibina di atas tanah kerajaan terutamanya di atas rizab sungai.

    Setiap kilang yang beroperasi wajib memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh PBN melalui PBT di mana kilang tersebut berada. PBT juga perlu memastikan kilang-kilang yang memohon lesen perniagaan, mendirikan kilang mereka di atas tanah yang telah diberi milik dan berada di dalam zon yang dibenarkan. Kilang-kilang yang didirikan di luar zon yang dibenarkan atau berada di atas tanah kerajaan akan diambil tindakan penguatkuasaan oleh PBT dan PDT.

    Melalui pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan pendirian struktur (kilang), pihak PBT akan mengesan kilang-kilang yang beroperasi tanpa kebenaran. Bagi menangani isu-isu berkaitan dengan kilang tanpa kebenaran, MMKN yang bersidang pada 28 Ogos 2024 telah bersetuju menubuhkan semula Jawatankuasa Tetap Kilang Tanpa Kebenaran (STANCO KTK) supaya isu KTK ini diselesaikan secara menyeluruh dan lebih berkesan.

  2. Bolehkah Kerajaan Negeri memberikan jumlah kilang haram yang telah dikenalpasti di DUN Ijok bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 dan apakah jumlahnya semakin berkurang?

    Hasil daripada pemurnian data kilang tanpa kebenaran (KTK) yang diperolehi daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sehingga Oktober 2024, jumlah KTK yang masih beroperasi adalah sebanyak 262 buah kilang yang melibatkan 266 lot/hakmilik dan tanah kerajaan Daerah Kuala Selangor. Daripada jumlah tersebut sebanyak 86 buah kilang melibatkan 84 lot/hakmilik di Mukim Ijok yang masih belum diputihkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.