Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

31) KHIDMAT BAS SELANGORKU PERCUMA (IPR 13)

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan jumlah bas percuma di seluruh Negeri Selangor mengikut kawasan pentadbiran dan PBT.

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor kini mempunyai 42 laluan dan 125 buah bas di sebelas kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor, tidak termasuk perkhidmatan PJCity Bus oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Butiran jumlah laluan dan Bas Smart Selangor mengikut PBT adalah seperti berikut:

  2. Sila senaraikan jumlah peruntukkan untuk pembelian dan penyelenggaraan untuk bas-bas percuma yang disenaraikan.

    Kos bagi penyediaan Bas Smart Selangor yang bermula pada 1 Julai 2015 hingga kini adalah menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan konsep perkongsian kos dan 1 plus 1 yang disyaratkan khususnya kepada PBT yang mempunyai kemampuan kewangan supaya lebih banyak laluan baru diperkenalkan dan memenuhi keperluan serta kemudahan rakyat di Negeri Selangor.

    Kos keseluruhan Bas Smart Selangor yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan adalah sebanyak RM50,580,628.64 manakala kos yang dibiayai oleh PBT adalah sebanyak  RM9,009,788.00. Kos yang ditanggung sebanyak RM800 sehari bagi sebuah bas merupakan kos penyewaan yang merangkumi kos pengurusan dan penyelenggaraan bas. Oleh itu, tiada kos pembelian bas oleh Kerajaan Negeri manakala kos penyelenggaraan adalah termasuk di dalam kos penyewaan yang menjadi tanggungjawab sepenuhnya syarikat operator bas yang dilantik.

  3. Sila senaraikan jenis bas-bas yang digunakan.

    Spesifikasi asas bagi pemilihan bas yang digunakan untuk perkhidmatan bas Smart Selangor adalah merangkumi jenis, saiz, kapasiti dan kemudahan-kemudahan yang perlu disediakan oleh syarikat operator dilantik. Bas Smart Selangor pada ketika ini hanya menggunakan bas bersaiz 10 dan 12 meter berdasarkan keperluan dan kesesuaian laluan yang dicadangkan serta kos yang lebih efektif. Penggunaan bas bersaiz panjang ini lebih menepati sasaran untuk memberi lebih banyak peluang kepada pengguna pengangkutan awam di Negeri Selangor seterusnya meningkatkan jumlah penerimaan penumpang yang tinggi. Kapasiti bas yang ditetapkan adalah 25 atau 30 tempat duduk penumpang dan model bas adalah dari jenis Scania, ADL Enviro, Volvo atau MAN.

Lampiran

Tiada Lampiran.