Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
14) KHAIRAT KEMATIAN PESAKIT COVID-19
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah permohonan yang telah diluluskan dan tidak diluluskan oleh Kerajaan Negeri dari tahun 2020 sehingga 2021?
Selari dengan hasrat menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat disamping memastikan kelestarian ekonomi terus terpelihara, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pakej Kita Selangor 2.0 pada 9 Jun 2021. Antara inisiatif di bawah strategi ‘Menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat’ adalah Bantuan Kewangan Kepada Keluarga Pesakit COVID-19 Yang Meninggal Dunia. Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,000 untuk setiap pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Selangor.
Untuk makluman ahli Yang Berhormat, inisiatif ini hanya diumumkan pada tahun 2021 dan tiada inisiatif serupa pada tahun 2020. Sehingga 19 Ogos 2021, sebanyak 2,004 permohonan telah diterima di bawah program bantuan ini. Daripada jumlah tersebut, jumlah yang telah diluluskan adalah sebanyak 162 dan tidak diluluskan adalah sebanyak 299.
-
Apakah sebab-sebab permohonan tersebut itu tidak diluluskan?
Bagi memastikan Bantuan Khairat Kematian Pesakit COVID-19 benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, terma dan syarat bantuan adalah seperti berikut:
i. Warganegara Malaysia
ii. Pemohon (waris terdekat) dan juga yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Negeri Selangor dan menetap di Negeri Selangor ATAU bermastautin di Negeri Selangor melebihi 10 tahun
iii. Disahkan meninggal dunia berpunca daripada COVID-19 oleh hospital/klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian
iv. Meninggal dunia di Negeri Selangor
v. Meninggal dunia pada tahun 2021 dan ke atas sahaja
vi. Terhad hanya kepada 1 permohonan bagi 1 keluarga sahaja
vi. Bantuan ini terhad kepada 1,500 orang penerima sahaja
Jika permohonan tersebut tidak menepati terma dan syarat yang telah ditetapkan, permohonan tersebut tidak akan diluluskan.
-
Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan?
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi program Bantuan Khairat Kematian Pesakit COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada 1,500 penerima. Susulan daripada pertambahan jumlah permohonan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM1 juta yang akan memberikan manfaat kepada tambahan 1,000 penerima.