Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

76) KHAIRAT KEMATIAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri menyediakan bantuan khairat kematian kepada semua rakyat Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor yang prihatin telah mewujudkan pelbagai program untuk dinikmati oleh rakyatnya melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Melalui program MES, kekayaan negeri yang melimpah-ruah ini telah dapat dikongsi dan di kecapi rakyat daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan jantina.

    Melalui program MES ini juga, satu skim yang dinamakan Skim Mesra Usia Emas telah diwujudkan khusus untuk warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas serta OKU.

     

  2. Jika ada, bagaimanakah bantuan berkenaan boleh dipohon dan syarat-syarat permohonan?

    Warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas perlulah mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas terlebih dahulu. Pendaftaran boleh dibuat di semua Pusat Khidmat Masyarakat yang diwujudkan di setiap kawasan Dewan Negeri Selangor.

    Apabila berlaku kematian, Penama (waris) yang sah dan berdaftar layak untuk menuntut wang manfaat berjumlah RM2500.00 daripada mana-mana Pusat Khidmat Masyarakat yang diwujudkan itu. Dokumen wajib semasa membuat tuntutan adalah salinan MyKad Penama (waris) dan Sijil Kematian ahli yang berkenaan.

    Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Warganegara Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas; dan
    • Sama ada;
      1. Dilahirkan dan sedang menetap di negeri Selangor; atau
      2. Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 dan sedang menetap di Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
    • Atau bermastautin di negeri Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.