Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
181) KG JAYA SEPAKAT, KUALA LANGAT
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status persempadanan lot tanah yang masih tidak selesai?
Pentadbir Tanah Kuala Langat ingin memaklumkan bahawa pada masa kini terdapat beberapa permohonan pengeluaran hakmilik muktamad (FT) di kawasan Kampung Jaya Sepakat yang diterima daripada pemilik-pemilik berdaftar. Walau bagaimanapun, pemohonan tersebut tidak dapat diproses kerana kerja-kerja pengukuran yang hendak dilaksanakan oleh JUPEM mendapat halangan daripada pihak penduduk disebabkan keluasan usaha oleh penduduk adalah berbeza dengan keluasan diluluskan semasa pemberimilikan. Pihak JUPEM juga telah memberhentikan kerja pengukuran di kawasan tersebut sehingga satu persetujuan dicapai bagi penyediaan pelan pra-hitungan yang baharu yang dipersetujui pemilik tanah dan disahkan oleh Pentadbir Tanah Kuala Langat.
Beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pemilik tanah. Namun, tiada persetujuan dicapai berhubung dengan sempadan dan keluasan tanah mengikut pelan-pelan pra-hitungan yang telah dikemukakan oleh Pentadbir Tanah kepada JUPEM sebelum ini. Oleh yang demikian, Pentadbir Kuala Langat mencadangkan penyelesaikan seperti berikut:
- Mewujudkan satu taskforce yang diketuai oleh pihak PDT Kuala Langat dan penglibatan bersama pihak JUPEM Selangor, PTG Selangor dan MPKK bagi penentuan keluasan tanah sama ada mengikut keluasan pemberimilikan asal atau mengikut usaha atas tanah kepada setiap pemilik. Pihak ADUN Kawasan juga diperlukan sebagai pengantara antara penduduk dan pihak Kerajaan.
- Mengemukakan permohonan peruntukan kepada pihak UPEN Selangor bagi melantik juru ukur tanah berlesen (JTB) untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran di atas tanah.
- Sekiranya diluluskan, perlantikan JTB akan dilaksanakan dengan segera bagi penyediaan pelan pra-hitungan yang baharu mengikut keluasan yang telah dipersetujui.
- Pentadbir Tanah akan mengadakan perjumpaan dengan penduduk setempat untuk menerangkan proses yang terlibat dalam pengukuran dan penandaan sempadan tanah hakmilik terlibat sebelum kerja-kerja pengukuran dijalankan oleh JTB.