Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
166) KEWANGAN PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI SELANGOR (PKNS)
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kedudukan kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tempoh berakhir 31 Disember 2020? Apakah sebab penurunan tahap kewangan mendadak dan apakah tindakan untuk memulihkan PKNS?
PKNS telah mencatatkan kerugian sebelum cukai dan zakat sebanyak RM719.2 juta bagi tempoh berakhir 31 Disember 2020. Kerugian yang tinggi ini adalah disebabkan oleh rosotnilai pelaburan (impairment of investment) dalam anak-anak syarikat PKNS berjumlah RM636.3 juta. Rosotnilai pelaburan yang dicatatkan adalah selaras dengan piawaian perakaunan MPERS iaitu Section 27 Impairment of Assets. Di samping pasaran hartanah yang lemah ekoran kesan pandemik Covid19 yang masih berterusan sehingga kini. Namun, jika rosotnilai pelaburan tidak diambil kira, PKNS mencatatkan kerugian sebelum cukai dan zakat berjumlah RM82.9 juta.
Bagi mendepani keadaan pasaran hartanah yang masih tidak memberangsangkan, PKNS telah melaksanakan Pelan Pemulihan Jangka Pendek yang memberi penekanan kepada mengurangkan kemerosotan pendapatan dan meminimakan unjuran kerugian. Sebanyak 35 inisiatif dan pelan tindakan telah dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kedudukan kewangan PKNS berada pada tahap yang baik.