Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

62) KEWANGAN PBT

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah prestasi kutipan cukai setiap PBT pada tahun ini berbanding tahun lepas?

    Prestasi kutipan cukai taksiran semasa PBT Negeri Selangor sehingga 30 September 2010 berbanding tarikh yang sama pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.94 peratus iaitu daripada RM774.62 juta kepada RM805.14 juta. Begitu juga dengan jumlah kutipan tunggakan cukai taksiran yang telah meningkat sebanyak RM14.34 peratus daripada RM82.45 juta kepada RM94.27 juta dalam tempoh yang sama. 

    Pecahan perbandingan kutipan hasil bagi setiap PBT adalah seperti di Lampiran 1.

     

  2. Bagaimanakah prestasi perbelanjaan setiap PBT dan adakah berlaku defisit?

    Sehingga 30 September 2010, sebelas (11) daripada dua belas (12) PBT menunjukkan prestasi pendapatan berbanding perbelanjaan yang masih positif atau surplus kecuali Majlis Daerah Sabak Bernam. Perincian jumlah pendapatan dan perbelanjaan PBT sehingga 30 September 2010 adalah seperti di Lampiran 2.

     

  3. Apakah PBT-PBT bertaraf majlis daerah mampu menjana pendapatan yang mencukupi?

    Majlis-majlis Daerah di Negeri Selangor terdiri daripada Majlis Daerah Kuala Selangor(MDKS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

    Daripada empat (4) Majlis Daerah ini, MDSB merupakan satu-satunya PBT yang mana hasil cukai tahunannya hanya RM3.69 juta. Dengan jumlah cukai taksiran yang kecil, MDSB tidak mampu menjana pendapatan yang mencukupi bagi membiayai operasi Majlis. Walau bagaimanapun, MDSB memperoleh bantuan daripada Kerajaan Persekutuan di mana bil-bil pegurusan sisa pepejal oleh Alam Flora Sdn. Bhd.

    ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak 50%.

    Rata-rata Majlis Daerah- Majlis Daerah di Negeri Selangor mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi bagi menguruskan operasi Majlis masing-masing. Kaedah perbelanjaan berhemah diamalkan bagi pengurusan operasi Majlis sehari-hari. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan bantuan seperti Geran Tahunan dan bantuan pembayaran bil elektrik sebanyak 50% kepada setiap PBT. Kerajaan Negeri juga memberi bantuan dengan pemberian Geran MARRIS, bantuan pembayaran bil-bil Alam Flora yang tertunggak serta pelbagai bantuan khas yang diberikan secara Direct Grant mengikut keperluan daripada Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa Tetap Pelancongan.