Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

17) KEWANGAN DIGITAL DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kerajaan negeri mengadaptasi perkembangan kewangan digital dan teknologi maklumat untuk manfaat rakyat?

    Kerajaan Negeri Selangor terus menerajui pelaksanaan kewangan digital terutamanya dalam konteks mengupayakan pembayaran perkhidmatan Kerajaan Negeri secara atas talian dan juga menyemarakkan ekosistem nirtunai. Berdasarkan beberapa inisiatif pintar yang dibangunkan oleh SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) seperti aplikasi Citizen E-Payment (CEPat), Smart Selangor Parking (SSP) dan modul Scan to Ride (STR) di dalam aplikasi CEPat, rakyat sentiasa digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran secara atas talian ataupun secara nirtunai. Perkhidmatan kewangan digital yang diupayakan oleh oleh komponen-komponen inovasi dan digitalisasi ini, mampu menawarkan perkhidmatan secara pantas dan telus, serta memberi ruang kepada rakyat untuk berurusan lebih mudah dengan Kerajaan Negeri pada bila-bila masa dan di mana jua.

     

    Selain daripada itu, terdapat juga e-wallet yang dibangunkan untuk Kerajaan Negeri Selangor. Salah satunya adalah Wavpay. Aplikasi e-dompet Wavpay telah dibangunkan oleh anak syarikat Kumpulan Dato’ Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI, Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd. Menerusi aplikasi ini, urusan beli belah pelanggan lebih mudah kerana tidak perlu membawa wang malah boleh menerima manfaat sampingan seperti pengumpulan bonus.

     

    Wavpay telah menyediakan Plan Perniagaan (Business Plan) dan Roadmap bagi 5-tahun kehadapan untuk pembangunan perniagaan-perniagaan Wavpay merangkumi e-Wallet, pinjaman mikro kredit dan e-Commerce yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah Wavpay yang juga diwakili oleh pegawai-pegawai dari Kerajaan Negeri dan MBI. Mulai November 2023, Wavpay telah menawarkan opsyen pembayaran melalui Duitnow yang memberi akses pembayaran kepada anggaran 1.5 juta peniaga (merchants).

     

    Sejak bermulanya pandemik pada tahun 2020 sehingga kini, aplikasi Selangkah milik kerajaan Selangor melalui syarikat milik kerajaan negeri, Selgate Corporation telah memanfaatkan sejumlah kumulatif 7.95 juta penduduk Selangor melalui pelbagai perkhidmatan kesihatan, kebajikan, dan kewangan digital.

     

    Selangkah Wallet diperkenal pada tahun 2021 bagi membolehkan gerakerja ekonomi dilaksana secara cashless ketika di era Perintah Kawalan Pergerakan. Secara khususnya ; 2 perkhidmatan fintech diperkenalkan oleh Selangkah : iaitu Selangkah Wallet bagi rakyat, dan Selangkah Wallet bagi golongan peniaga. Dari segi ekonomi, misi Kerajaan Negeri adalah mewujudkan masyarakat nirtunai atau ‘cashless society’. Inisiatif seperti Selangkah Biz dan Selangkah Wallet dapat bantu mempercepatkan usaha ini.

     

    SELANGKAH BIZ merupakan aplikasi bagi peniaga yang membolehkan golonga peniaga menerima bayaran dari pelbagai jenis e-wallet (Grab, TnG, WeChatPay, dan lain-lain). Pada April 2021, aplikasi Selangkah Biz telah diperkenalkan bagi memudahkan peniaga IKS serta mikro untuk menerima bayaran tanpa tunai daripada mana-mana penyedia e-dompet. Insentif hingga RM10,000 sehari diberikan kepada peniaga bazar Ramadan yang melaksanakan transaksi melalui Selangkah Biz.

     

    Pada 4 Disember 2021, aplikasi SELANGKAH WALLET dilancarkan dengan 10,000 pengguna diberi insentif sebanyak RM 5 bagi pendaftaran pertama kali. pelancaran Selangkah Wallet bertujuan merapatkan jurang antara 2.75 juta pengguna aktif dengan para peniaga melalui pembayaran tanpa sentuh dan tanpa tunai. Selangkah Wallet menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran QR, tambah nilai kredit, pemindahan kredit, tambah nilai mudah alih dan pembayaran bil. Ciri keselamatan ini direka untuk menyediakan platform pembayaran yang lancar dan mudah buat pengguna bagi kegunaan dalam keperluan harian mereka, sama ada bagi pembelian barangan harian mahupun penjagaan kesihatan.  Selangkah Wallet adalah gerbang pembayaran rasmi untuk Farmasi Selcare dan Klinik Selcare, yang telah memudahkan proses pembayaran bagi pembelian produk serta perkhidmatan kesihatan, menjadikannya dompet berorientasikan kesihatan yang pertama di negara ini. Sehingga ke hari ini, ciri-ciri fintech Selangkah Wallet dan Selangkah Biz diterima pakai di hampir 2000 pusat perniagaan di seluruh negara.

  2. Apakah inisiatif untuk menggalakkan penggunaan kewangan digital di kalangan perniagaan kecil dan rakyat?

    Inisiatif-inisiatif yang dibangunkan oleh SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) bagi menggalakkan penggunaan kewangan digital di kalangan rakyat adalah:

     

     

    Citizen E-Payment (CEPat)

    • Aplikasi kaedah pembayaran digital untuk perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri Selangor termasuklah yang ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS). Sehingga kini, CEPat ada menawarkan 57 perkhidmatan pembayaran bagi memberi kemudahan kepada orang ramai

     

    Smart Selangor Parking (SSP)

    • Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) telah dibangunkan bagi memudahcara dan menggalakkan orang awam untuk membuat pembayaran parkir dan kompaun secara atas talian merentasi 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

     

    Modul Scan to Ride (STR) di dalam aplikasi CEPat

    • Modul ini diupayakan di dalam aplikasi CEPat bagi membolehkan penumpang bas Smart Selangor yang terdiri daripada warga asing untuk membayar tambang bas secara atas talian.

     

    Aplikasi e-dompet Wavpay

    • Menerusi aplikasi ini, urusan beli belah pelanggan lebih mudah kerana tidak perlu membawa wang malah boleh menerima manfaat sampingan seperti pengumpulan bonus.
    • Inisiatif kerajaan negeri menerusi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sebanyak RM300 sebulan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.

     

    Selangkah Biz dan Selangkah Wallet

    • SELANGKAH BIZ merupakan aplikasi bagi peniaga yang membolehkan golonga peniaga menerima bayaran dari pelbagai jenis e-wallet (Grab, TnG, WeChatPay, dan lain-lain). Pada April 2021, aplikasi Selangkah Biz telah diperkenalkan bagi memudahkan peniaga IKS serta mikro untuk menerima bayaran tanpa tunai daripada mana-mana penyedia e-dompet. Insentif hingga RM10,000 sehari diberikan kepada peniaga bazar Ramadan yang melaksanakan transaksi melalui Selangkah Biz.

     

    • Selangkah Wallet menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran QR, tambah nilai kredit, pemindahan kredit, tambah nilai mudah alih dan pembayaran bil. Ciri keselamatan ini direka untuk menyediakan platform pembayaran yang lancar dan mudah buat pengguna bagi kegunaan dalam keperluan harian mereka, sama ada bagi pembelian barangan harian mahupun penjagaan kesihatan.
  3. Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk meningkatkan infrastruktur IT di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk meningkatkan infrastruktur IT Negeri Selangor di Bangunan SUK Selangor dan sembilan (9) Pejabat Daerah dan Tanah.

    Senarai projek pembangunan yang akan dilaksanakan pada tahun 2024 adalah seperti berikut:

    1. Menaik taraf Peralatan Rangkaian (Switch) di sembilan (9) Pejabat Daerah & Tanah dan Bangunan SUK – FASA 1 untuk tiga (3) Pejabat Daerah iaitu PDT Klang, PDT Petaling dan PDT Kuala Langat.
    2. Perkhidmatan Pengoperasian dan Penalaan Security Operation Center (SOC) dan Mengurus Keselamatan Siber (Managed Services) serta Keperluan Keselamatan Siber Selangor ( 5 Fasa) – Pembangunan awal.
    3. Pemantapan Network Monitoring System (NMS) bagi memantau status rangkaian internet di Bangunan SUK dan sembilan (9) Pejabat Daerah dan Tanah Selangor

    Anggaran peruntukan yang dirancang bagi ketiga-tiga projek adalah sebanyak RM4.2 juta.

Lampiran

Tiada Lampiran.