Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

27) KEWANGAN COVID-19

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah perbelanjaan Kerajaan Negeri yang telah digunakan bagi tujuan pandemik COVID-19.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mempertingkat usaha dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi semua lapisan penduduk Negeri Selangor ketika mendepani cabaran kesan penularan pandemik COVID-19. Selain itu juga, Kerajaan Negeri serius dan terus proaktif untuk mengambil tindakan kawalan kesihatan untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 di kalangan penduduk di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah mengumumkan bantuan kepada golongan penduduk yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang dikenali sebagai Pakej Kita Selangor.

    Pakej Kita Selangor ini telah diumumkan sebanyak 2 kali iaitu Pakej Kita Selangor 1.0 pada 20 Januari lalu yang melibatkan 20 inisiatif dan memberi implikasi kewangan berjumlah RM75.87 juta. Manakala Pakej Kita Selangor 2.0 pula diumumkan pada 9 Jun yang lalu yang melibatkan 26 inisiatif yang memberi implikasi kewangan berjumlah RM551.56 juta. Ini menjadikan secara keseluruhan Pakej Kita Selangor pada tahun ini telah memberi implikasi kewangan berjumlah RM627.43 juta. Dari jumlah ini, sebanyak RM278.34 juta bersamaan 44.36% telah dibelanjakan sehingga 16 Ogos 2021 dan telah memberi manfaat kepada 871,837 orang.

     

     

  2. Jangkaan perbelanjaan keseluruhan bagi tujuan pandemik COVID-19.

    Pakej Kita Selangor yang telah diumumkan merangkumi program/ inisiatif yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang. Inisiatif jangka pendek adalah bertujuan memberi bantuan berbentuk financial relief kepada rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19. Antara inisiatif jangka pendek ini adalah inisiatif Bakul Makanan, Moratorium Kepada Peserta Skim Smart Sewa, Bantuan Makanan Kepada Frontliner dan lain-lain. Manakala inisiatif jangka panjang pula lebih bertumpu kepada menahan kejatuhan ekonomi dan membangun semula eknomi dengan menyediakan inisiatif berupa kemudahan pembiayaan kewangan seperti Pinjaman Hijrah, Selangor Advance, program keusahawanan serta program bagi meningkatkan keupayaan digitalisasi seperti PLAT Selangor (PLATS), Rakan Digital Selangor dan Skim Pembiayaan Go Digital selain program mengekang penularan COVID-19 seperti Saringan Bersasar Covid-19 dan Program Vaksin Selangor (SelVAX).

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menjangkakan perbelanjaan keseluruhan Pakej Kita Selangor ini akan mencapai sekitar 90 peratus daripada jumlah yang telah diumumkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.