Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
237) KEUTAMAAN RUMAH MAMPU MILIK
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pada 3 Jun 2011 YAB DATO' menteri Besar melancarkan buat pertama kali Rumah Mampu Milik di Bangi. Mengapakah projek perumahan berkenaan dinamakan ÔRumah Mampu MilikÕ?
Projek perumahan ini dinamakan sebagai rumah mampu milik adalah bersesuaian dengan matlamat Kerajaan Negeri menyediakan rumah yang mampu dimiliki untuk pembelian kali pertama oleh rakyat Negeri Selangor khususnya golongan berpendapatan sederhana dan juga perumahan untuk golongan muda di bawah umur 35 tahun.
Ini kerana berdasarkan kepada pemerhatian mendapati kebanyakan ekonomi golongan belia khususnya eksekutif muda masih kurang stabil. Purata pendapatan golongan ini adalah di antara RM2,500 sehingga RM5,000. Pengenalan dasar ini akan dapat memberi peluang kepada mereka memiliki hartanah mampu milik sebelum berkemampuan memiliki perumahan harga tinggi pada masa hadapan.
-
Golongan manakah disasarkan ÔRumah Mampu MilikÕ ini?
Golongan sasaran utama bagi pelaksanaan projek rumah mampu milik ini adalah untuk memenuhi keperluan penyediaan kediaman bagi golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan diantara RM2,500 sehingga RM5,000 sebulan. Ini kerana berdasarkan kajian mendapati bahawa golongan berpendapatan sederhana iaitu pendapatan di bawah RM5,000 sebulan khususnya golongan muda di bawah umur 35 tahun merupakan golongan yang sukar untuk memiliki rumah pertama yang selesa dengan kadar yang berpatutan sedangkan purata harga jualan rumah di pasaran ketika ini mencecah RM301,443 seunit. Oleh itu, dengan pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru ini dijangka mampu memberi lebih pilihan kepada golongan tersebut untuk memiliki rumah
-
Apakah syarat-syarat dikenakan bagi yang memohon ÔRumah Mampu MilikÕ ini?
Bagi memastikan pengagihan rumah mampu milik ini hanya untuk golongan sasaran, beberapa kriteria pemilihan telah ditetapkan iaitu:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 18 tahun ke atas
- Pemohon (suami / isteri) tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor. Namun, pemohon yang telah memiliki RKR selama lima (5) tahun ke atas boleh memohon rumah mampu milik sebagai rumah kedua.
- Pemohon bujang yang mempunyai tanggungjawab keluarga boleh memohon. v. Berdaftar di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
- Pembelian rumah ini adalah untuk didiami dan bukan untuk disewa.
- Pindah milik hanya akan dibenarkan selepas 5 tahun dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Pendaftaran dengan LPHS ini sebagai langkah pengawalan dan juga bagi memudahkan perancangan dibuat dalam mengenalpasti keperluan mendesak penyediaan mampu milik bagi sesuatu kawasan.