Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

5) KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peserta yang terlibat dalam Inisiatif Rakan Digital Selangor dalam Pakej Kita Selangor?

    Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Rakan Digital Selangor melantik Duta Rakan Digital Selangor (RDS) untuk membantu perniagaan mikro (penjaja dan peruncit) mendaftarkan perniagaan mereka ke dalam Platform Selangor (PLATS) yang mana ia merupakan plarform promosi dan direktori digital yang dibangunkan untuk menggerakkan ekonomi penjaja dan peruncit di negeri Selangor. Duta RDS ini akan turut membantu kumpulan sasaran menggunaka platform social media untuk meningkatkan pendedahan dan pendapatan dengan mendapatkan pelanggan baru.

    Sejak dilancarkan pada 1 April sehingga 16 Ogos 2021, seramai 3,364 merchants telah didaftarkan ke dalam PLATS oleh Duta RDS.  Setakat ini  seramai, seramai 642 Duta RDS telah dilatih, manakala 347 telah dilantik dan berkhidmat sebagai Duta RDS. Kumpulan sasaran RDS adalah peniaga, peruncit dan PKS Mikro.

  2. Apakah jenis bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor kepada usahawan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19?

    Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19 di serata dunia. Perusahaan di Selangor tidak terkecuali menerima tempias akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan yang berkuatkuasa pada tahun 2020 yang lalu. Ini menyebabkan kebanyakan usahawan kecil dan sederhana terkesan dari segi jualan yang merosot, produktiviti terhenti kerana hanya sektor penting sahaja yang dibenarkan beroperasi. Kebanyakan syarikat mula gulung tikar dan terpaksa memberhentikan pekerja. Justeru itu, beberapa langkah diambil bagi mengurangkan impak    COVID-19 ini kepada rakyat. Berikut merupakan beberapa inisiatif bagi membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19:

     i. Selangor Advance

    Selangor Advance ialah program yang menyediakan kemudahan aliran tunai dan modal operasi pembekal/penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor sahaja. Kaedah yang dilaksanakan adalah melalui kemudahan pembiayaan pemfaktoran-i. Para pembekal / penyedia perkhidmatan tersebut boleh memohon untuk menyertai program secara atas talian di www.selangoradvance.com.my dan boleh mula memohon untuk pembayaran awal atas nilai invois setelah mendapatkan kelulusan untuk mengambil bahagian.

    ii. Bantuan one-off RM500.00 peniaga Bazar Ramadan

    Bagi mengekang penularan COVID-19, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menutup bazar Ramadan pada tahun ini.  Bantuan one-off RM500.00 ini diberikan kepada peniaga terjejas untuk meringankan beban hidup akibat penutupan bazar Ramadan.

    iii. Pengecualian sewa premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2 bulan (Jun-Julai)

    Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memberikan pengecualian sewa premis selama 2 bulan di peringkat PBT bagi meringankan beban kewangan peniaga di premis PBT.

     iv. Moratorium pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor

    Peminjam daripada HIJRAH Selangor diberi penangguhan bayaran pinjaman bagi peringkat ketiga selama 1.5 bulan dari 15 Jun 2020 hingga 31 Julai 2020 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta. Memandangkan terdapat maklumbalas peniaga yang memerlukan lanjutan moratorium, Kerajaan Negeri telah memberi tambahan penangguhan bayaran selama 6 minggu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM11 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan penangguhan pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor adalah sebanyak RM12.6 juta.

    v. Geran Padanan Digital PKS Selangor

    Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) telah memperuntukan 50% geran padanan atau pembiayaan maksima sehingga RM5,000.00 kepada setiap PKS untuk melanggan pembekal perkhidmatan digital. Jumlah keseluruhan dana ini adalah sebanyak RM5 juta dan ia merangkumi lima (5) bidang digital yang ditetapkan seperti berikut :

    • e-dagang;
    • sistem sumber manusia;
    • sistem perakaunan;
    • pemasaran digital; dan
    • sistem elektronik point of sales dan payment gateway.

     

     vi. Data Internet Percuma selama 12 bulan

    Kerajaan Negeri telah memperuntukan pemberian Data Internet percuma bagi tempoh 12 bulan. Pembekal perkhidmatan disertai oleh DIGI, CELCOM dan UNIFI menawarkan tiga (3) pakej pilihan data internet. Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://platselangor.com

    vii. Bantuan COVID19 Lembaga Zakat Selangor

    Lembaga Zakat Selangor memperuntukan bantuan kepada golongan B40 (berpendapatan kurang RM4,000.00) yang terjejas akibat COVID-19.  Ia juga merangkumi individu yang terkesan akibat pemberhentian kerja, mendapat separuh gaji dan cuti tanpa gaji pada masa PKP.

    vii. Bakul Makanan RM100,000.00 di 56 DUN

    Bagi memastikan kelangsungan hidup, Kerajaan Negeri memperuntukan RM100,000.00 untuk setiap DUN bagi program bakul makanan yang akan diberikan kepada penduduk setempat. Pakej berupa set makanan asas bagi memastikan rakyat tidak terputus bekalan makanan.

     Selain itu Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasa dan melahirkan usahawan berjaya di Negeri Selangor. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    ix. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

    Setiap daerah diperuntukan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Rakyat Negeri Selangor atau pun yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

     

    x. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan BPU, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

    xi. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00. Pemberian berbentuk bantuan peralatan / mesin perniagaan berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Syarat permohonan telah dilonggarkan kepada tiga (3) bulan pengoperasian pada musim pandemik COVID-19 bagi membantu rakyat menjalankan perniagaan.

    Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat agar keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.

    xii. Latihan Keusahawan

    Latihan keusahawanan masih diteruskan pada musim pandemic COVID-19. Walau bagaimanapun program dijalankan secara dalam talian. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH SELANGOR dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS.

    xiii. Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor (SITHAM)

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan.     Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Program yang ditawarkan adalah latihan pengurusan merangkumi aspek pengurusan pemasaran dan kewangan, latihan kemahiran dan pembangunan, program inkubator bersama syarikat peneraju dan geran perniagaan.

    Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH SELANGOR.

    xiv. Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:

    • Skim Zero to Hero

    Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan atas talian.

    • NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)

    Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM5,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.

    • GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)

    Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman ditawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan enam (6) bulan-tiga (3) tahun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.