Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
35) KETIADAAN PUSAT JAGAAN KANAK-KANAK DI TANJONG KARANG
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani isu ketiadaan Pusat Jagaan bagi kanak-kanak yang dipisahkan dari ibu bapa yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Tanjong Karang?
Dalam rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor terdapat lapan (8) pusat jagaan kategori kanak-kanak di Daerah Kuala Selangor yang memberikan jagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak iaitu tujuh (7) beroperasi secara harian dan satu (1) berkediaman, termasuklah memberi jagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak yang dipisahkan dari ibu bapa yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk menjalankan program berkebajikan untuk kanak-kanak tersebut?
Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor menggariskan matlamat bagi mewujudkan mekanisme khas untuk membantu golongan kanak-kanak terpinggir dan berkeperluan khas, termasuklah kanak-kanak yang berada di rumah perlindungan. Antara tindakan yang digariskan dalam dasar tersebut ialah untuk mengadakan lawatan ke rumah perlindungan kanak-kanak terpinggir secara berkala serta mengadakan sesi kaunseling yang dijalankan oleh kaunselor terlatih. Selain itu, ruang juga harus disediakan agar kanak-kanak tersebut boleh berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan sekiranya memerlukan.