Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

90) KETERJAMINAN MAKANAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan keterjaminan makanan di Selangor?

    The Food and Agriculture Organization (FAO) telah mentakrifkan keselamatan makanan (food security) sebagai situasi di mana setiap orang mempunyai akses kepada makanan yang selamat dan berkhasiat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka. Akses ini mesti tersedia pada setiap masa dan memenuhi keperluan dan keutamaan diet mereka.

    1. Ketersediaan (Availability)

    Jumlah makanan yang tersedia secara nasional

    1. Kebolehcapaian (Accesibility)

    Keupayaan isi rumah untuk mengakses makanan

    1. Penggunaan (Utilization)

    Cara individu menggunakan makanan yang mereka ada akses

    1. Kestabilan (Stability)

    Betapa stabilnya bekalan makanan dari semasa ke semasa

    Berlandaskan dari perkara tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor atau PeTA bagi merancang dan seterusnya melaksanakan program dan projek yang berkait rapat dengan isu sekuriti makanan iaitu :-

    • Pertanian Bernilai Tinggi;
    • Pemodenan Pertanian;
    • Rantaian Bekalan Makanan Lengkap;
    • Pembangunan Agroprenuer; dan
    • Agro Pelancongan.

    Sehubungan itu, antara langkah terbaharu yang diambil Kerajaan Negeri Selangor adalah dengan melaksanakan Program Gudang Makanan Selangor (GMS) di mana penyediaannya pada ketika ini bermula dengan penyimpanan stok bekalan makanan untuk tempoh sebulan iaitu pada kadar 15% dari jumlah penduduk Negeri Selangor yang merangkumi makanan asas khususnya bekalan beras dan seterusnya akan ditingkatkan kepada bekalan makanan untuk tempoh 3 bulan bagi sejumlah 7 juta penduduk.

    Melalui Program GMS tersebut, ianya boleh menangkis krisis makanan khususnya sewaktu bencana alam seperti banjir serta dalam masa yang sama boleh membantu di dalam situasi untuk menstabilkan harga apabila keadaan tersebut terjadi.

    Dalam pada itu juga, projek dan program di bawah PeTA iaitu Rangkaian Bekalan Makanan Lengkap juga turut dilaksanakan yang merangkumi keseluruhan rantaian bermula dari program huluan sehingga hiliran iaitu bermula dari proses pengeluaran benih dan baka, penyediaan kawasan, projek tanaman / ternakan, penyimpanan / pengumpulan, pengedaran dan seterusnya pemasaran.

    Program untuk meningkatkan hasil dari kebun komuniti juga turut diberikan perhatian yang serius kerana melalui program ini secara tidak langsung ianya juga dapat membantu di dalam membekalkan hasil-hasil pertanian yang diusahakan secara berkumpulan khususnya di kawasan perumahan. Di Negeri Selangor, telah terdapat lebih 200 buah kebun komuniti yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

    Kerajaan Negeri turut membuka kawasan-kawasan projek pertanian seperti di bawah Program Selangor Smart Agro Park (SSAP) & dan Selangor Smart Agro Farm (SSAF), Kampung Johan Setia, Klang, selain mempertingkatkan pengeluaran di dalam Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang merangkumi sejumlah 22 kawasan dengan jumlah keluasan lebih kurang 2,1011.9 ha yang merangkumi projek tanaman, penternakan dan akuakultur. Sebagai contoh projek tanaman sayuran di Kampung Johan Setia, Klang sahaja boleh menghasilkan sejumlah 3,000 mt dengan nilai RM46.3 juta setahun.

    Selain dari itu, penggunaan teknologi moden dan terkini juga turut diberikan perhatian khususnya bagi menangani fenomena bencana alam di mana sebagai contoh penggunaan kaedah Smart Farming menggunakan pertanian pintar Internet of Things (IOT) dalam penanaman secara fertigasi, penanaman dalam bangunan (Plant Factory) dan vertic farming serta penggunaan struktur pelindungan hujan (SPH) bagi memastikan sektor pertanian mempunyai daya tahan dalam menghadapi perubahan iklim.

    Selain itu, pengeluaran benih tanaman yang berkualiti dan rintang penyakit oleh Green World Genetics (GWG) seperti melon, jagung dan betik turut dilaksanakan. Tapak pengeluaran benih kelapa matag yang dilaksanakan di bawah program SSAP@Sg. Air Tawar dan SGG juga sedang dibangunkan di Negeri Selangor serta projek pengeluaran benih udang putih dan udang harimau turut dilaksanakan termasuk pengeluaran baka kambing Barbados Black Belly (BBB) yang sedang diperingkat perancangan untuk dilaksanakan pada tahun 2025 ini.

    Bagi memastikan rakyat di Negeri Selangor dapat membeli hasil – hasil makanan sama ada hasil segar atau proses, program pemasaran Jualan Ehsan Rakyat (JER) yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa diberikan keutamaan. Pada tahun 2025, Program JER dijangka akan dilaksanakan di 1,344 lokasi di 56 DUN. Pada tahun 2024, jumlah lokasi yang terlibat adalah sebanyak 1,642 kawasan dengan melibatkan 56 DUN.

  2. Apakah inisiatif untuk memperkukuhkan industri asas tani di DUN Selat Klang terutama dalam bidang modern farming?

    Inisiatif bagi memperkukuhkan industri pertanian bukan hanya tertumpu kepada DUN Selat Klang sahaja bahkan ianya melangkaui keseluruhan Negeri Selangor. Antara inisiatif yang sedang berjalan pada ketika ini adalah berdasarkan kepada Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang telah menggariskan 5 dasar utama iaitu :-

    1. Pertanian Bernilai Tinggi;
    2. Pemodenan Pertanian;
    3. Rantaian Bekalan Makanan Lengkap;
    4. Pembangunan Agroprenuer; dan
    5. Agro Pelancongan.

    Bagi program yang melibatkan modern farming ianya terletak di bawah Dasar Pemodenan Pertanian iaitu memberikan penumpuan kepada teknologi-teknologi moden dan terkini sebagai contoh projek tanaman menggunakan Internet of Things (IOT) di dalam tanaman sebagai contoh tanaman melon, penggunaan sensor di dalam bidang akuakultur sebagai contoh pengesanan suhu dan tahap kemasinan air (salinity level) serta penggunaan kaedah pengesanan baka (pedigree level) dari peringkat awal ternakan bagi mengelakkan pembiakan secara imbreeding terjadi.

    Sehubungan dengan itu, pelbagai bentuk latihan dan maklumat secara berterusan diberikan kepada agroprenuer yang melibatkan semua jabatan dan agensi yang berkaitan disamping peruntukan khas disediakan untuk pemberian secara geran peralatan moden yang diperlukan termasuk sistem pengawalan dan penjagaan tanaman melon yang merangkumi kaedah tanaman secara struktur perlindungan hujan (SPH) yang mempunyai kos pembinaan yang tinggi, penggunaan sistem tanaman cendawan yang dihasilkan melalui inovasi oleh agroprenuer di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Selangor serta penggunaan dron dan jentera tuaian kepada pesawah.

Lampiran

Tiada Lampiran.