Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
26) KESIHATAN WARGA EMAS
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan inisiatif yang diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran warga emas mengenai kepentingan penjagaan kesihatan pada 2025.
Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Program Kesihatan Warga Emas bermula pada tahun 2025 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM400,000.
Program ini akan dilaksanakan di sembilan (9) daerah dan melibatkan dua komponen utama iaitu saringan kesihatan dan program intervensi. Di bawah kedua-dua komponen ini, warga emas yang terlibat akan menerima khidmat kesihatan seperti berikut:Saringan asas kesihatan seperti ujian darah, berat dan ketinggian;
- Saringan kesihatan mata;
- Taklimat pemakanan sihat dan seimbang;
- Senaman warga emas; dan
- Sesi konsultasi bersama pakar kesihatan.
Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 2,700 orang warga emas akan menerima manfaat di bawah program ini.
-
Apakah rancangan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk menghadapi situasi Negara Menua pada masa akan datang?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah membangunkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) yang memberikan manfaat kepada kumpulan sasar iaitu warga emas, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan penjaga formal dan tidak formal, dengan menekankan perkongsian tanggungjawab seluruh masyarakat (whole-of-society).
DEPNS menggariskan strategi-strategi dan tindakan-tindakan menjajarkan inisiatif sedia ada dan mengemukakan usul-usul kerjasama baru dan holistik yang boleh dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek dan sederhana sehingga tahun 2030. Justeru, komitmen seluruh jentera Kerajaan Negeri Selangor yakni merentasi portfolio pembangunan dan tata urus melibatkan aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, kebajikan, pelaburan, perkhidmatan, perundangan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan adalah amat penting.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksanakan Kajian Warga Emas bagi mengenal pasti keperluan sebenar warga emas di Selangor terutamanya dalam aspek kesihatan, sosial dan ekonomi. Hasil kajian ini akan membantu Kerajaan Negeri menetapkan dan menambah baik dasar, inisiatif dan peruntukan yang lebih holistik dan tuntas iaitu berasaskan keperluan populasi warga emas.