Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

313) KESIHATAN WARGA EMAS

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengambil kira isu negeri menua, adakah Selangor Saring akan menyediakan saringan berkaitan kesihatan warga emas?

    Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan kesihatan rakyat Negeri Selangor termasuk golongan warga emas. Antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam pengurusan kesihatan yang berkesan adalah menekankan aspek pencegahan berbanding rawatan. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Selangor Saring bermula pada tahun 2022.

    Melalui Program Selangor Saring, semua rakyat Negeri Selangor termasuk warga emas yang mempunyai berisiko adalah layak menikmati manfaat saringan asas percuma merangkumi ujian urin, darah, fizikal, pemeriksaan kesihatan telinga, mata, gigi dan fisioterapi. Di samping itu, Program Saring Selangor turut menawarkan manfaat saringan awal kanser terpilih iaitu kanser serviks, prostat, mammogram dan kolon. Program ini akan dilaksanakan di kesemua 56 DUN dan sehingga 24 Jun 2024, sebanyak 2,127 individu telah menjalani saringan kesihatan melalui program ini.

  2. Berapakah bilangan warga emas tanpa waris yang ditinggalkan di hospital seluruh Selangor?

    Statistik daripada Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mendapati seramai 644 kes pesakit warga emas tanpa waris telah ditinggalkan di hospital dari tahun 2022 hingga 2023. Kebanyakan pesakit adalah berusia 60 tahun ke atas. Bilangan kes mengikut tahun adalah seperti jadual di bawah:

  3. Apakah tindakan yang diambil bagi menangani isu pengabaian warga emas di fasiliti kesihatan?

    Kes-kes warga emas yang diabaikan di fasiliti kesihatan akan dirujuk oleh Pegawai Perubatan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital bagi mengesan waris atau ditempatkan di institusi kebajikan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Badan Bukan Kerajaan (NGO).

    Bagaimanapun kebanyakan hospital menghadapi masalah untuk menempatkan pesakit warga emas yang diabaikan ke institusi kebajikan kerana kebanyakan institusi kebajikan ini tidak mempunyai tempat yang mencukupi bagi menampung pesakit warga emas ini.

    Kebanyakan institusi kebajikan juga tidak dapat menerima pesakit di kalangan pesakit mental dan pesakit yangterlantar (bed ridden) disebabkan kos penjagaan yang tinggi dan kekurangan kakitangan yang berkemahiran bagi mengendalikan pesakit sedemikian.

    Bagi menangani isu ini, Pegawai Kerja Sosial Perubatan melalui Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia telah menubuhkan sebuah rumah transit sementara bagi menempatkan pesakit warga emas yang terabai dikenali sebagai Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, Selangor. Pada masa ini seramai 20 orang pesakit mendiami pusat jagaan ini. Sejak penubuhannya pada 2006, ia sudah menjadi rumah transit kepada lebih 220 penghuni.

    Sebahagian daripada pesakit warga emas akan tinggal di sini untuk beberapa bulan sebelum mendapat penempatan kekal di institusi kebajikan seperti di Rumah Seri Kenangan atau Rumah Ehsan milik JKM atau mana-mana institusi yang sudi menerima mereka.

    Selain daripada Pusat Jagaan Nur Hasanah, terdapat beberapa  institusi penjagaan warga emas kelolaan NGO di Negeri Selangor seperti berikut:

    1. Pusat Jagaan Siti Noraini, Kajang
    2. Sincere Care Home, Kajang
    3. Pusat Jagaan Insan Istimewa, Semenyih
    4. Rumah Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong
    5. Pusat Jagaan Shirley, Rawang
    6. Pusat Jagaan Sejahtera, Rawang
    7. Rumah Kebajikan Yesuvin Mahligai, Kajang
    8. My Father Home, Petaling Jaya
    9. Pertubuhan Kebajikan Teratak Singgah Norashikin Sg Lang
    10. Pertubuhan kebajikan Rumah Perlindungan Sementara Baituzzahrah Kuala Langat

Lampiran

Tiada Lampiran.