Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

104) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan program dan bantuan untuk mengurangkan masalah mental dalam kalangan penjawat awam.

    Kerajaan Negeri melalui bahagian Pengurusan Sumber Manusia melalui Cawangan Pengurusan Kaunseling dan Psikologi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan program-program berbentuk pencegahan, pembangunan dan pemulihan serta bantuan profesional kesihatan mental untuk mengurangkan masalah mental dalam kalangan penjawat awam. Berikut adalah beberapa program dan bantuan yang telah dilaksanakan oleh Cawangan Pengurusan Kaunseling dan Psikologi:

    1. Program Bicara Psikologi

    Program yang berbentuk ceramah ini dilaksanakan sebanyak enam (6) siri setiap tahun bermula Februari sehingga September 2024 di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor. Program ini bertujuan untuk memberikan psikopendidikan tentang ilmu dan kemahiran psikologi kepada penjawat awam. Antara pengetahuan dan kemahiran psikologi yang diajar dalam program ini adalah pengurusan stres, kemahiran daya tahan psikologi (psychological resilience), latihan cemas psikologi (psychological first aid), pengurusan emosi dan literasi kesihatan mental.

    1. Program Pacuan Prestasi

    Program Pacuan Prestasi telah dilaksanakan pada 12 sehingga 14 Jun 2024 di Hotel Crystal Crown bertujuan untuk meningkatkan prestasi kerja penjawat awam sambil memastikan kesejahteraan mental mereka terjaga. Antara pengisian program adalah kemahiran komunikasi, kepuasan kerja, kemahiran daya tindak dan kemahiran interpersonal dalam membantu penjawat awam mengatasi masalah peribadi dan profesional yang boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.

    iii.        Program Motivasi Kerja

    Program Motivasi Kerja telah dilaksanakan sebanyak tiga (3) siri kepada penjawat awam bertujuan untuk meningkatkan motivasi, membantu menguruskan masalah kesihatan fizikal dan mental dan kesejahteraan penjawat awam. Program ini telah dilaksanakan pada 27 Ogos, 9 September dan 30 September 2024 di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor bertujuan untuk mengintegrasikan aspek kesihatan mental dalam program motivasi kerja agar pekerja dapat mencapai prestasi kerja yang optimum sambil mengekalkan kesejahteraan mental yang baik.

    1. Program Coaching for Managers

    Program ini dilaksanakan kepada penyelia di tempat kerja. Input dalam program ini adalah untuk melatih penyelia mengenal pasti tanda-tanda awal masalah mental dan bagaimana untuk memberi sokongan kepada pekerja dengan menggunakan kemahiran coaching. Melalui peningkatan kemahiran komunikasi dan hubungan interpersonal, pengurus dapat membina kepercayaan dan memperkukuh kepuasan serta kesejahteraan mental pekerja, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif dan menyokong kesihatan mental.

    1. Program Jelajah Psikologi

    Program Jelajah Psikologi adalah satu inisiatif bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman penjawat awam tentang kesihatan mental dan mempromosikan perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang ditawarkan oleh Cawangan Pengurusan Kaunseling dan Psikologi. Program ini telah berlangsung pada 26 sehingga 28 Julai 2024 di Daerah Sabak. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah, pameran, sesi soal jawab, dan pengedaran bahan maklumat seperti brosur dan poster.

    1. Bantuan Profesional Kesihatan Mental

    Cawangan Pengurusan Kaunseling dan Psikologi juga menyediakan bantuan profesional kesihatan mental melalui perkhidmatan sesi kaunseling dan psikoterapi kepada penjawat awam yang mempunyai masalah kesihatan mental secara percuma. Sesi ini diberikan oleh Pegawai Psikologi yang mempunyai kelayakan profesional dalam bidang kaunseling dan psikologi klinikal yang berdaftar dengan badan profesional seperti Lembaga Kaunselor Malaysia dan Majlis Profesional Kesihatan Bersekutu Malaysia. Selain itu, penjawat awam yang mempunyai masalah kesihatan mental yang teruk yang memerlukan rawatan farmakologi segera oleh Pakar Psikiatri akan dirujuk dengan segera ke Jabatan Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Urusan ini dapat dipermudahkan dengan wujudnya kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pihak Kerajaan Negeri Selangor dan pihak UiTM yang telah ditandatangani pada 28 Oktober yang lalu.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selaku agensi pelaksana telah melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan mental kepada orang awam termasuk penjawat awam. Antara inisiatif tersebut adalah:

     

    1. Talian SEHAT

    Merupakan platform bagi mendapatkan sesi kaunseling di atas talian di hotline 1700-82-7536 atau 1700-82-7537 yang beroperasi daripada Hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8:30 pagi sehingga 4:30 petang;

     

    1. Subsidi Rawatan Pakar Subsidi

    Saringan kesihatan mental dilakukan di dalam Aplikasi Selangkah dan sekiranya keputusan tidak normal, temujanji ke Klinik Selcare untuk sesi konsultasi bersama pegawai perubatan akan dilakukan. Selepas sesi konsultasi, sekiranya memerlukan rawatan susulan bersama Pakar Psikiatri, rawatan bersubsidi sebanyak 5 sesi dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1,000 bagi setiap pesakit yang merangkumi rawatan psikiatri dan ubat-ubatan;

     

    iii.        Kaunselor Hab SEHAT di setiap daerah

    Program rintis ini telah bermula pada bulan Ogos 2024 sehingga bulan Mac 2025 di DUN Sungai Tua, Bandar Utama, Kuala Kubu Bharu, Pandamaran, Sungai Air Tawar, Ijok, Pandan Indah, Sungai Pelek dan Morib. Kaunselor Hab ini berfungsi memberikan sesi kaunseling secara bersemuka yang beroperasi pada setiap Hari Sabtu kecuali cuti umum jam 9:00 pagi hingga 1:00 petang; dan

     

    1. Bengkel Pencegahan

    Bengkel ini menyasarkan penyertaan daripada ketua komuniti seperti Ketua Kampung, wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), Badan Pengurusan Bersama (JMB) rumah kos rendah serta sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA). Antara pengisian bengkel ini adalah penerangan berkaitan mitos berkaitan kesihatan mental dan bunuh diri, risiko dan tanda amaran berkaitan bunuh diri serta pelan sokongan kesihatan mental berasaskan komuniti. Setakat ini, bengkel ini telah dilaksanakan di dua daerah iaitu Klang pada 14 September 2024 dan Kuala Selangor pada 12 Oktober 2024.

  2. Sila nyatakan jumlah penjawat awam yang dirujuk untuk masalah mental bagi tahun 2020 hingga 2024.

    Berikut adalah maklumat mengenai jumlah penjawat awam yang dirujuk untuk masalah mental bagi tahun 2020 hingga 2024.

     

    Bil Tahun Jumlah Kes
    1. 2020 2
    2. 2021 1
    3. 2022 1
    4. 2023 11
    5. 2024 9

Lampiran

Tiada Lampiran.