Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
111) KESIHATAN MENTAL
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesedaran dan perkhidmatan berkaitan kesihatan mental?
Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang diperkenalkan pada tahun 2021 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor kepada individu yang mengalami masalah kesihatan mental dengan menawarkan perkhidmatan sokongan kesihatan mental yang lengkap seperti talian psikologi, video psikopendidikan, saringan kesihatan mental sehingga subsidi rawatan psikiatri.
-
Apakah program yang ada untuk membantu individu dengan masalah kesihatan mental?
Pada tahun 2023, Program SEHAT telah menjalankan program kesedaran dan saringan kesihatan mental melalui reruai-reruai yang dibuka semasa Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dan program-program kerajaan negeri yang lain dengan seramai 1,601 orang pengunjung telah disaring.
Di samping itu, program saringan kesihatan mental melalui aplikasi Selangkah telah mencatatkan 98,788 pengguna manakala video-video psikopendidikan yang turut terdapat pada aplikasi Selangkah telah mencapai 64,713 jumlah tontonan.
Manakala bagi inisiatif subsidi rawatan pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal yang bermula pada awal bulan Oktober 2023, seramai 90 pesakit telah layak mendapatkan subsidi tersebut yang membabitkan 450 sesi slot rawatan melibatkan kos keseluruhan RM209,400.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri melibatkan komuniti dalam memerangi stigma kesihatan mental?
Bagi memastikan penglibatan komuniti dalam memerangi stigma kesihatan mental, modul Program SEHAT turut diberi pendedahan kepada anggota Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) yang berperanan sebagai focal point program kesihatan di kalangan komuniti. Selain itu, bagi menyebar luas berkenaan kesedaran kesihatan mental di kalangan golongan muda, Program SEHAT turut melaksanakan outreach bersama pemimpin mahasiswa melibatkan enam buah universiti di Negeri Selangor iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Teknologi Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).