Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
97) KESIHATAN MENTAL
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini program Selangor Mental Sihat (SEHAT) Selangor?
Soalan ini telah dijawab bersekali dengan soalan N31 (Subang Jaya) No. 48. Pengurusan kesihatan mental yang baik merupakan salah satu keutamaan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat Selangor sentiasa terjaga. Kesihatan mental yang baik membantu meningkatkan tahap kesihatan fizikal individu dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti individu tersebut.
Justeru itu, selaras dengan status negeri yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyatnya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah memperkenalkan Program Kesihatan Mental bermula pada tahun 2019. Melalui program ini, individu yang mengalami masalah mental akan menerima sesi kaunseling dan nasihat daripada pakar terlatih dan berpengalaman. Program ini kemudiannya ditambahbaik pada tahun 2021 melalui pengenalan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang merangkumi komponen lebih lengkap merangkumi video pendidikan kesihatan mental, forum dan ceramah, soal kaji selidik dan platform atas talian bagi individu berhubung dengan kaunselor yang bertauliah. Bermula tahun 2022, individu yang berkelayakan akan menerima subsidi bagi mendapatkan rawatan psikiatri di klinik panel terpilih. Sehingga 31 Oktober 2022, status terkini Program SEHAT adalah seperti berikut:
i. Program advokasi siri bicara kesihatan mental secara atas talian kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di negeri Selangor. Sebanyak 8 siri telah dijalankan dan melibatkan keseluruhan 2,713 penonton mahasiswa;
ii. Program Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) kepada pengamal perubatan di negeri Selangor. Sebanyak 3 siri telah dijalankan dan dihadiri oleh lebih 300 orang pengamal perubatan;
iii. Program promosi kesihatan mental di 9 lokasi mega Jelajah Saring Selangor, 6 lokasi Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dan di Selangor International Expo (Medic). Jumlah kehadiran pengunjung bagi ketiga-tiga acara tersebut adalah 959 orang;
iv. 2 talian sokongan psikososial (Talian SEHAT) yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah melalui platform aplikasi Selangkah. Sehingga 30 Jun 2022, lebih daripada 191 panggilan berhubung berhubung masalah mental telah diterima melalui platform tersebut;
v. Sebanyak 30 video psikopendidikan baru telah dihasilkan bagi tujuan promosi pendidikan kesihatan mental dengan jumlah tontonan berjumlah 37,463 penonton;
vi. Penambahbaikan SEHAT 2.0 di aplikasi Selangkah telah di muatnaik pada 10 Oktober 2022. Antara ciri penambahbaikan tersebut adalah penambahan 3 ujian saringan, 4 modul kesihatan mental, penambahan 30 video psikopendidikan dan ciri-ciri yang lebih mesra pengguna;
vii. Seramai 59,547 pengguna telah menggunakan aplikasi SEHAT sejak dilancarkan ia dilancarkan pada 30 Ogos 2021 sehingga 31 Oktober 2022; dan
viii. Program subsidi rawatan pakar psikiatri yang telah diperuntukkan bagi 700 slot rawatan akan ditambahbaik dengan individu yang layak akan berdaftar melalui platform SEHAT di dalam aplikasi Selangkah.
-
Berapakah pengguna telah mendapat perkhidmatan pakar kesihatan mental melalui SEHAT?
Soalan ini telah dijawab bersekali dengan soalan dari N31 Subang Jaya No.48 (b). Untuk makluman Yang Berhormat, sejumlah 312 panggilan telah diterima melalui talian SEHAT bagi tempoh daripada bulan Jun sehingga Oktober 2022. Daripada jumlah tersebut, seramai 130 individu telah dirujuk ke pusat kaunseling untuk sesi secara fizikal bersama pakar kaunselor, dengan perincian isu adalah seperti berikut:
Rujukan ke pakar psikiatri masih belum dilaksanakan atas sebab terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan seperti isu pendaftaran dan rujukan pesakit kepada pakar psikiatri. Namun begitu, pelaksanaan penambahbaikan sedang dilaksanakan akan dibuat melalui aplikasi SELANGKAH.
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk membantu pesakit yang tidak mampu membeli ubat psikiatri?
Melalui insiaitif subsidi rawatan psikiatri, selain menerima bantuan daripada aspek rawatan, bantuan subsidi juga akan diberi bagi pembelian ubat-ubatan kepada golongan yang kurang berkemampuan.