Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

106) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah pengguna Selangkah yang menggunakan komponen Mental SEHAT Selangor sejak pelancarannya? Berapakah yang telah menggunakan perkhidmatan Whatsdoc Portal?

    Yang Berhormat, soalan ini akan dijawab bersekali dengan Subang Jaya (N36) No. 76 (a). Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi dan sumber kewangan individu, malah turut memberi kesan kepada tahap kesihatan mental seseorang. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah memperkenal Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang dilancarkan pada 30 Ogos 2021 bagi membantu golongan yang terjejas.

     

    Sejak pelancaran SEHAT dan perkhidmatan aplikasi sejak 1 September sehingga 21 November 2021, seramai 4,902 rakyat Selangor telah berdaftar dan menggunakan aplikasi SEHAT termasuk ujian saringan kesihatan mental dan ujian literasi kesihatan mental. Manakala sejumlah 18,253 tontonan bagi 30 video pendidikan kesihatan mental di dalam aplikasi SEHAT yang mencakupi pelbagai isu-isu kesihatan mental.

     

    Bagi talian SEHAT, penambahbaikan telah dilakukan bagi memudahkan pengguna berhubung dengan kaunselor secara terus tanpa perlu melengkapkan soalan saringan kesihatan. Walau bagaimanapun, semua konsultasi adalah secara di atas talian dan hanya dirujuk secara lisan. Rujukan secara bertulis tidak dapat dilaksanakan atau untuk mendapatkan maklumbalas sama ada pengguna telah mendapatkan rawatan di hospital atau sebaliknya.

  2. Apakah pecahan umur pengguna SEHAT?

    Julat umur pengguna adalah diantara 10 sehingga 82 tahun. Statisitk penggunaan adalah seperti berikut:

     

    Bil. Kategori Umur Peratus Penggunaan
    1. Bawah 18 tahun 1.7 peratus
    2. 18 – 30 tahun 28.8 peratus
    3. 30 – 50 tahun 57.8 peratus (Majoriti)
    4. 50 – 82 tahun 11.7 peratus

     

  3. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk memperkembangkan penggunaan SEHAT?

    Perancangan seterusnya adalah bagi meningkatkan aktiviti promosi dan advokasi bagi meningkatkan bilangan pengguna di kalangan rakyat Selangor. Selain itu juga, video-video kesihatan mental juga akan ditambah baik bagi mencakupi isu-isu mental semasa, menambah jenis ujian saringan kesihatan mental bersesuaian dengan kepelbagaian latar belakang pengguna.

Lampiran

Tiada Lampiran.