Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

224) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah isu psikologi atau masalah yang paling memberi kesan kepada rakyat di Negeri Selangor akibat COVID-19?

    Kerajaan Negeri sentiasa memberi fokus kepada kebajikan warga Selangor, termasuk berkaitan kesihatan mental. Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan bagi tujuna ini. Berdasarkan program-program yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama daripada agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Universiti Awam Tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO), antara masalah yang memberi kesan kepada rakyat di negeri Selangor akibat Covid-19 secara umumnya adalah seperti berikut:

    1. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan;
    2. Kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan bagi menampung kehidupan;
    3. Sesi pembelajaran secara atas talian; dan
    4. Masalah perhubungan di kalangan pasangan atau ibu bapa dan anak
  2. Apakah peranan kerajaan dalam membantu masyarakat terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Bukit Melawati (N10) No.83 (a), Teratai (N22) N0.94 (c), Rawang (N14) No.98 (c), Taman Templer (N15) No. 137 (a), Kampung Tunku (N35) No.144 (b), Kota Anggerik (N40) No.151 (a), Kampung Tunku (N35) No.188 (a) dan Subang Jaya (N31) No. 208 (a) . Bagi membantu dan meningkatkan taraf kesihatan mental warga Selangor, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah memperkenalkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Program SEHAT ini adalah satu program yang menyeluruh merangkumi promosi, kesedaran, saringan awal dan intervensi awal dengan kerjasama pasukan penyelidik dari agensi seperti berikut:

    1. Universiti Islam Antarabangsa (IIUM);
    2. Universiti Sains Malaysia (USM);
    3. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); dan
    4. NGO- Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA)

    Sebagai permulaan, program advokasi dan kesedaran melibatkan 8 siri bicara kesihatan mental telah dijalankan secara atas talian secara mingguan bermula 5 Jun 2021. Seiring dengan kemajuan teknologi, Program SEHAT ini akan diintegrasikan bersama aplikasi Selangkah untuk memudahkan para pengguna mendapat akses untuk melakukan saringan kendiri berkenaan status kesihatan mental. Pengguna juga akan mendapat akses kepada 3 intervensi awal iaitu video edukasi psikologi, forum serta talian. Program SEHAT juga akan turut merangkumi sebanyak 30 video edukasi psikologi dan akan dimuatnaik bersama aplikasi SELangkah.

    Bagi memudahkan warga Selangor mendapatkan nasihat kaunselor, talian telefon sokongan psikososial akan diwujudkan dan tersedia melalui aplikasi WhatsDoc. Para pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan nasihat kaunselor bertauliah secara percuma dan sesi peer support bersama badan bukan kerajaan (NGO) di dalam aplikasi Whatsdoc. Melalui inisiatif ini, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental secara holistik yang memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya berikutan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.