Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
208) KESIHATAN MENTAL
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan pembelanjaan setakat ini bagi belanjawan Kesihatan Mental sebanyak setengah juta yang diumumkan pada 2020 untuk kegunaan 2021.
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Bukit Melawati (N10) No.83 (a), Teratai (N22) N0.94 (c), Rawang (N14) No.98 (c), Taman Templer (N15) No. 137 (a), Kampung Tunku (N35) No.144 (b), Kota Anggerik (N40) No.151 (a), Kampung Tunku (N35) No.188 (a) dan Sementa (N43) No. 224 (b). Kerajaan Negeri memahami bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan akan memberi kesan kepada kesihatan mental rakyat. Saban hari, kita juga dikejutkan dengan berita berkaitan masalah mental yang membelenggu rakyat. Mengambil kira akan kepentingan dalam menangani isu ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 bagi pelaksanaan program program berkaitan penjagaan kesihatan mental bagi tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM420,648.00 akan digunakan bagi pelaksanaan Program Selangor Mental Sihat atau secara ringkasnya SEHAT. Program ini merupakan kolaborasi di antara beberapa pakar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sebagai permulaan, program advokasi dan kesedaran melibatkan 8 siri bicara kesihatan mental telah dijalankan secara atas talian secara mingguan bermula 5 Jun 2021. Seiring dengan kemajuan teknologi, Program SEHAT ini akan diintegrasikan bersama aplikasi Selangkah untuk memudahkan para pengguna mendapat akses untuk melakukan saringan kendiri berkenaan status kesihatan mental. Pengguna juga akan mendapat akses kepada 3 intervensi awal iaitu video edukasi psikologi, forum serta talian. Program SEHAT juga akan turut merangkumi sebanyak 30 video edukasi psikologi dan akan dimuatnaik bersama aplikasi SELangkah.
Bagi memudahkan warga Selangor mendapatkan nasihat kaunselor, talian telefon sokongan psikososial akan diwujudkan dan tersedia melalui aplikasi WhatsDoc. Para pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan nasihat kaunselor bertauliah secara percuma dan sesi peer support bersama badan bukan kerajaan (NGO) di dalam aplikasi Whatsdoc. Melalui inisiatif ini, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental secara holistik yang memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya berikutan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.