Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
17) KESIHATAN MENTAL
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan penjawat awam dalam Negeri Selangor yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan mental?
Berdasarkan rekod perkhidmatan kaunseling yang telah dilaksanakan oleh Cawangan Pengurusan Kaunseling, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor terdapat 17 kes yang telah diadakan sehingga Julai 2021. Selain daripada itu, terdapat juga perkhidmatan Nasihat/Bimbingan/Pra-Kaunseling melalui kaedah online (whatsapp, telegram, FB Masengger dll) yang mencecah sebanyak 420 kes (tidak mengkhusus kepada Isu Kesihatan Mental) sehingga julai 2021.
-
Apakah kemudahan yang bersedia diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu penjawat awam yang menghadapi masalah ini?
Selain daripada memberikan perkhidmatan kepada penjawat awam negeri Selangor, Perkhidmatan Kaunseling juga dipanjangkan kepada masyarakat Negeri Selangor. Antara inisiatif Kerajaan Negeri Selangor adalah dengan mewujudkan Laman Sesawang aturan Temujanji Perkhidmatan Kaunseling (e-psy) Negeri Selangor, Page Facebook dan Maklumat-maklumat dalam Google Search dan Maps supaya lebih mudah untuk masyarakat membuat aturan temujanji bersama kaunselor di pusat kaunseling Selangor selain memudahkan akses serta maklumat-maklumat berkaitan perkhidmatan Pusat Kaunseling Selangor. Terkini, kerajaan dengan Kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) sedang dalam proses membangunkan Perkhidmatan Kaunseling secara online yang lebih komprehensif dalam Aplikasi SELANGKAH. Selain itu, kerajaan juga mewujudkan cawangan pusat kaunseling selangor di majlis-majlis pihak berkuasa tempatan yang terpilih seperti Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan tujuan memudahkan lagi penjawat awam dan masyarakat untuk mendapatkan khidmat kaunseling bersama kaunselor dari pusat kaunseling selangor. Walaubagaimanapun, perkhidmatan kaunseling di pihak berkuasa tempatan adalah berdasarkan temujanji yang telah dibuat sahaja. Pentadbiran Setiasuaha Kerajaan Negeri Selangor juga turut mewajibkan kesemua Sukarelawan Kaunselor untuk berdaftar di Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM). Selain daripada itu semua kaunselor Pusat Kaunseling Selangor untuk menghadiri kursus penambahbaikan perkhidmatan yang dianjurkan oleh bahagian pengurusan sumber manusia bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kaunseling di pusat kaunseling selangor terjamin dan mesra pelanggan.
-
Adakah staf PKM layak mendapat kemudahan yang sama?
Perkhidmatan Kaunseling yang diberikan tidak terhad kepada Penjawat Awam sahaja, perkhidmatan ini juga terbuka kepada ahli keluarga penjawat awam. Malah dengan adanya Pusat Kaunseling Selangor – Talian Sahabat yang memfokus kepada masyarakat Negeri Selangor juga terbuka sepanjang masa. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan ini juga boleh dipanjangkan kepada PKM sekiranya ada keperluan.