Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
178) KESIHATAN KELUARGA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat yang tidak dapat hamil secara semulajadi?
Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap peningkatan mereka yang tidak dapat hamil secara semulajadi iaitu sebanyak 2 peratus sejak 10 tahun kebelakangan ini. Hal ini boleh menyumbang kepada terhadap kemerosotan kadar kelahiran di negeri Selangor menjadikan negeri Selangor sebagai super-aged society dengan jumlah warga emas berumur 60 tahun ke atas semakin meningkat.
Situasi tersebut akan memberikan dampak besar kepada ekonomi negeri. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mengambil kira isu ini sebagai isu teras dalam Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor, melaksanakan kajian dan merangka strategi khusus untuk meningkat kadar kelahiran di negeri ini.
-
Oleh kerana kos untuk In Vitro Fertilisation (IVF) adalah sangat mahal, adakah Kerajaan Negeri pernah mengkaji untuk memberi bantuan subsidi bagi keluarga yang memerlukannya?
Soalan ini telah dijawab bersekali dengan soalan No 8 (a) daripada Yang Berhormat Pandamaran dan soalan No 234 (a) daripada Yang Berhormat Subang Jaya.
Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menawarkan rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) dengan kos paling rendah iaitu dianggarkan bermula sekitar RM8,000.00, dengan kadar penjimatan antara 100 hingga 500 peratus berbanding rawatan di fasiliti swasta. Terdapat 3 klinik subfertiliti LPPKN yang menyediakan rawatan tersebut bertempat di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesuburan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF).
Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk mengkaji pemberian subsidi bagi rawatan IVF mengikut keperluan semasa rakyat di negeri Selangor.