Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
362) KESIHATAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah ada perancangan untuk menambahbaik dan membesarkan Hospital Banting ataupun membina hospital baru di daerah Kuala Langat memandangkan penduduk dikawasan Kuala Langat ini semakin padat?
Pembinaan Blok Baharu di Hospital Banting telah dirancang dan disenarai pendek di peringkat JKN Selangor dalam permohonan projek Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Tahun 2024-2025 yang lalu. Kerja Awalan Pembinaan Blok Baharu Hospital Banting telah diluluskan di bawah Projek Rolling Plan Tiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3, RMK12) untuk dilaksanakan pada tahun 2023.
-
Adakah ada peruntukan untuk klinik-klinik kesihatan dan desa yang telah uzur dan perlukan pembesaran serta kelengkapan klinik akibat pesakit yang terlalu ramai khususnya dikawasan DUN Morib?
Pada tahun 2023, Kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja naiktaraf dan pembaikan bangunan. Berikut adalah projek-projek terlibat bagi pembangunan dan perkhidmatan kesihatan di kawasan DUN Morib:
- Peruntukan BP0600: Kerja – Kerja naiktaraf Klinik Kesihatan Kampung Bandar dengan kos RM424,600.00. Kerja-kerja melibatkan perluasan perkhidmatan di Jabatan Pesakit Luar, pendawaian elektrik dan lain-lain.
- Peruntukan Klinik Daif: Kerja-kerja menaiktaraf dan pembaikan termasuk sistem pendawaian elektrik dan lain-lain kerja yang berkaitan di Klinik Kesihatan Kanchong Darat dengan kos RM321,024.00. Kerja-kerja melibatkan pembaikan sistem pendawaian elektrik dan naiktaraf infrastruktur di klinik.
Bagi tahun 2024 pula, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah mengemukakan permohonan bagi kerja-kerja naiktaraf dan pembaikan bangunan untuk kelulusan selanjutnya di peringkat Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, meliputi:
1.Peruntukan BP0600: Ubahsuai empat (4) buah kuarters untuk dijadikan Blok Jabatan Pesakit Luar Klinik Kesihatan Kanchong Darat dengan anggaran kos RM800,000.00.
2.Peruntukan Klinik Daif:
- Pembinaan semula Klinik Kesihatan Sg Lang dengan anggaran kos RM600,000.00
- Naik taraf/ baik pulih bangunan Klinik Desa Morib dengan anggaran kos RM600,000.00
- Naik taraf/ baik pulih bangunan Klinik Desa Olak Lempit dengan anggaran kos RM600,000.00
-
Apakah program-program kesihatan yang telah dijalankan dan akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan apakah bantuan kesihatan yang diberikan kepada rakyat Negeri Selangor? dan senaraikan bantuan ini.
Program-program kesihatan yang telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor adalah seperti berikut:
- Perkhidmatan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit
Kita akan mempertingkatkan program promosi kesihatan dan saringan penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases, NCD). Antaranya melalui aktiviti National Health Screening Initiative (NHSI), saringan kanser, outreach program kepada golongan kurang berkemampuan dalam komuniti dengan menyelaras dan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam bidang kesihatan, kebajikan dan masyarakat.
Untuk mengekalkan kesinambungan dan kelestarian program di dalam masyarakat kerajaan negeri Selangor memperkasakan sukarelawan contohnya melalui Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), KOSPEN, Duta Kenali Ubat dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan. Ia bagi memacu tahap kesihatan rakyat negeri Selangor ke suatu aras yang lebih baik. Sekiranya program-program ini berjaya mencapai objektif pelaksanaannya, ia dapat melahirkan rakyat Selangor yang lebih sihat dan berdaya maju.
- Perkhidmatan Kawalan Penyakit Berjangkit – Khususnya Demam Denggi
Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk memastikan tindakan yang diperlukan dilaksanakan oleh pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Dalam hal ini, Mesyuarat tersebut dihadiri oleh kesemua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ahli Majlis dan lain-lain lagi.
Memperkasakan peranan penduduk/ agensi terlibat melalui penubuhan pasukan COMBI bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan. COMBI adalah singkatan dari “Communication for Behaviourial Impact”. Program yang diasaskan oleh “World Health Organization” (WHO) dan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). COMBI merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi untuk mempengaruhi perubahan tingkahlaku dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti kearah tingkahlaku yang sihat.
- Perkhidmatan Kesihatan Ibu, Wanita dan Kanak-Kanak
Bagi tujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi ibu, anak dan wanita, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melalui semua Klinik Kesihatan, Klinik Desa dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) ada menjalankan program-program seperti berikut:
(i) Program Kesihatan Ibu : Penjagaan ibu daripada sebelum, semasa dan selepas kehamilan. (ii) Program Kesihatan Anak : Penjagaan, saringan kesihatan termasuk perkembangan fizikal, mental dan sosial, pemberian imunisasi serta rawatan bagi kanak-kanak daripada lahir. (iii) Program Kesihatan Sekolah : Saringan kesihatan, rujukan jika perlu dan pemberian imunisasi. (iv) Program Wanita : Pemberian family planning, saringan kesihatan terutamanya kanser payu dara dan serviks (v) Program Kanak-Kanak Keperluan Khas : Menjalankan saringan perkembangan fizikal, sosial dan mental bagi kanak-kanak seawal umur 6 bulan, rujukan kepada hospital jika perlu untuk diagnosa dan rawatan susulan. - Perkhidmatan Kesihatan Primer
Bagi tujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melanjutkan waktu operasi di enam (6) buah klinik kesihatan (KK) terpilih, iaitu:
- KK Bandar Botanik, Klang
- KK Taman Ehsan, Gombak
- KK Ampang, Hulu Langat
- KK Kajang, Hulu Langat
- KK Seksyen 19 Shah Alam, Petaling
- KK Taman Medan, Petaling
Tiga daripada Klinik Kesihatan (KK) ini, iaitu Klinik Kesihatan Ampang, Klinik Kesihatan Bandar Botanik dan Klinik Kesihatan Taman Ehsan yang beroperasi secara rintis setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum sehingga 9.30 malam. Manakala tiga Klinik Kesihatan yang lain beroperasi setiap hari bekerja sehingga jam 9.30 malam, manakala Sabtu sehingga 1:00 petang dan ditutup pada hari Ahad serta cuti umum.
Selain itu, Klinik Kesihatan di Selangor juga terlibat dalam melaksanakan saringan kesihatan bagi penerima manfaat PeKa B40 yang dikendalikan oleh ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. sebagai anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia (PHM) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehingga 30 September 2023, seramai 85,331 (8.9%) penerima manfaat di Selangor telah disaring di bawah inisiatif PeKa B40 berbanding 958,711 kumpulan B40 yang layak.
Sebagai maklumat tambahan, anggota di setiap fasiliti kesihatan di bawah Jabatan ini telah dimaklumkan untuk membantu menguar-uarkan mengenai Skim Perubatan MADANI di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. kepada klien yang hadir. Ini adalah bagi membolehkan klien yang layak, iaitu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan B40 sedar bahawa mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Skim Perubatan MADANI.
- Perkhidmatan Pemakanan
Di bawah Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ada memberi bantuan bakul makanan kepada kanak-kanak warganegara Malaysia yang berumur di antara 6 bulan hingga 6 tahun yang mengalami masalah kekurangan zat makanan daripada keluarga berpendapatan rendah. Ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan status pemakanan kanak-kanak tersebut.
Di bawah Program Bantuan Makanan Tambahan Susu Tepung Penuh Krim (STPK) Untuk Ibu Hamil, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ada memberi bantuan Susu Tepung Penuh Krim (STPK) kepada ibu hamil yang mempunyai masalah peningkatan berat badan tidak mencukupi (inadequate Gestational Weight Gain, iGWG) semasa hamil daripada keluarga yang tidak berkemampuan. Ini bertujuan untuk membantu meningkatkan status pemakanan ibu hamil yang mempunyai masalah peningkatan berat badan.