Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
248) KESIHATAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah peruntukan digunakan untuk Iltizam Selangor Sihat?
Mutu penjagaan kesihatan kepada golongan kurang berkemampuan iaitu di kalangan B40 dan miskin bandar harus dipertingkat kerana kesihatan yang baik mampu membantu mereka menjalani pekerjaan harian dengan lebih bersemangat. Atas prinsip itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Iltizam Selangor Sihat (ISS) yang merupakan satu langkah penambahbaikan daripada Skim Peduli Sihat (SPS) dan Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS).
Berbanding SPS yang hanya memberi fokus kepada rawatan asas, pelaksanaan ISS telah memberi manfaat tambahan seperti manfaat vaksinasi, ubatan, vitamin dan perlindungan kemalangan, penyakit kritikal dan kematian semulajadi. Untuk makluman Yang Berhormat semua, bermula pada bulan hadapan, manfaat hospitalisasi sehingga RM10,000.00 setahun turut diberikan kepada penerima ISS. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna akan keperluan kesihatan rakyat di negeri ini. Sehingga 31 Oktober 2023, terdapat seramai 92,746 penerima ISS di seluruh negeri Selangor. Berhubung jumlah peruntukan program, sebanyak RM45 juta telah disediakan bagi pelaksanaan ISS bagi memastikan program ini terus berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
-
Memperkenalkan rawatan pencegahan penyakit yang berisiko tinggi dalam kalangan wanita seperti mammogram dan pap smear berkesan.
Memperkenalkan rawatan pencegahan penyakit yang berisiko tinggi dalam kalangan wanita seperti mammogram (saringan untuk kanser payudara) dan pap smear (saringan untuk kanser serviks) adalah langkah yang telah terbukti berkesan dalam membolehkan penyakit kanser tersebut dikesan pada peringkat awal.
Apabila kanser dapat dikesan pada peringkat awal dan ketika masih dalam tahap yang lebih mudah untuk dirawat, ini membolehkan pesakit menerima rawatan lebih awal dan meningkatkan peluang untuk pemulihan sepenuhnya. Selain itu, saringan seperti ini juga membantu mengenal pasti individu yang berisiko tinggi dan membolehkan intervensi awal dan penjagaan kesihatan yang lebih berkesan.
Justeru itu, memperkenalkan saringan dan rawatan pencegahan seperti mammogram dan pap smear adalah penting dalam usaha mengurangkan risiko dan kesan penyakit berisiko tinggi dalam kalangan wanita. Untuk program mammogram di bawah program Selangor Kanser, seramai 1,027 wanita telah menyertainya pada tahun 2022 manakala bagi tahun 2023, jumlah yang menyertai nya adalah seramai 139 orang.
-
Adakah kerajaan dapat menaikkan kos rawatan dari RM500 kepada RM1000 memandangkan inflasi perubatan?
Berhubung dengan cadangan Yang Berhormat bagi meningkatkan kadar rawatan daripada RM500.00 kepada RM1,000.00, Kerajaan Negeri perlu mengkaji terlebih dahulu cadangan tersebut kerana peningkatan ini akan memberikan implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri. Ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada peruntukan bagi tujuan dan bantuan lain. Suka saya mengambil peluang ini untuk memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor juga menambahbaik manfaat ISS dengan memperkenalkan manfaat hospitalisasi sehingga RM10,000.00 setahun kepada penerima ISS yang dijangka akan bermula pada akhir tahun 2023.