Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

314) KESIAPSAGAAN BANJIR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan progres kesiapsagaan banjir bagi Selangor menjelang musim tengkujuh.

    Kerajaan Negeri telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Bil. 2/2024 pada 05 Oktober 2024 yang telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato’ Setia Haji Haris bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mesyuarat ini bagi menyelaraskan maklumat berkaitan tinjauan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), serta mendapatkan maklum balas agensi berhubung kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana. Ini termasuk status anggota bertugas, aset-aset, serta keperluan logistik oleh setiap agensi/jabatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan segera di semua lokasi bencana. JPBD dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah bersiapsiaga memainkan peranan masing-masing bagi menghadapi musim MTL dengan melaksanakan operasi dan koordinasi bersepadu di peringkat daerah dan negeri.

    Semua jabatan dan agensi akan memainkan peranan tindakan selaras dengan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No.1: Dasar Dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Segala bantuan pengoperasian bersepadu hendaklah diselaraskan melalui JPBD bagi Tahap 1 manakala JPBN bagi Tahap 2.

    Semua Pegawai Daerah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diarah melaksanakan mesyuarat persediaan di peringkat daerah dengan segera bagi memastikan perancangan awal dalam pengurusan aset pemindahan dan menyelamat, pengurusan pusat pemindahan serta bekalan bahan mentah yang mencukupi. Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) dimohon memaklumkan kawasan-kawasan hotspot serta berisiko banjir kepada JPBD dan JPBN, serta bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) bagi tujuan penyelenggaraan dan mengedarkan pelan hotspot banjir. Semua aset seperti pam air / banjir (pelbagai jenis), stesen telemetri, stesen amaran, stesen sukatan luahan, stesen curahan hujan, stesen paras air, dan stesen kamera pemantauan banjir dipantau secara harian bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan bersedia.

    Polis Diraja Malaysia Negeri Selangor (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor (APM) dan Briged 11 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga, di mana semua agensi telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL. Aset-aset yang digunakan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah ditempatkan di lokasi strategik seperti di pangkalan hadapan di setiap daerah.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) bersedia dengan pewartaan 1,152 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan garis panduan penetapan dan pengendalian mangsa yang mengalami masalah kesihatan dikuatkuasakan. Bekalan keperluan asas semasa bencana juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi.

    Bagi melancarkan penyelarasan tindakan setiap agensi/kerajaan, Kerajaan Negeri telah memutuskan penugasan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL seperti berikut:

Lampiran

Tiada Lampiran.