Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

18) KESIAPSAGAAN BANJIR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan langkah-langkah kesiapsagaan banjir yang sudah diambil oleh Kerajaan Negeri.

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Bil. 1/2023 pada 23 Oktober 2023 yang telah dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mesyuarat ini bagi menyelaraskan maklumat berkaitan tinjauan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), serta mendapatkan maklum balas agensi berhubung kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana. Ini termasuk status anggota bertugas, aset-aset, serta keperluan logistik oleh setiap agensi/jabatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan segera di semua lokasi bencana. JPBD dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah bersiapsiaga memainkan peranan masing-masing bagi menghadapi musim MTL dengan melaksanakan operasi dan koordinasi bersepadu di peringkat daerah dan negeri.

     

    Semua jabatan dan agensi akan memainkan peranan yang selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Segala bantuan pengoperasian bersepadu hendaklah diselaraskan melalui JPBD bagi Tahap 1 manakala penyelarasan oleh JPBN bagi Tahap 2.

     

    Semua Pegawai Daerah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diarah melaksanakan mesyuarat persediaan di peringkat daerah dengan segera bagi memastikan perancangan awal dalam pengurusan aset pemindahan dan menyelamat, pengurusan pusat pemindahan serta bekalan keperluan asas yang mencukupi.

    Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) diminta untuk memaklumkan kawasan-kawasan hotspot serta berisiko banjir kepada JPBD dan JPBN, serta bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) bagi tujuan penyelenggaraan dan mengedarkan pelan hotspot banjir. Semua aset seperti pam air / banjir (pelbagai jenis), stesen telemetri, stesen amaran, stesen sukatan luahan, stesen curahan hujan, stesen paras air, dan stesen kamera pemantauan banjir dipantau secara harian bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan bersedia.

     

    Polis Diraja Malaysia Negeri Selangor (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor (APM) dan Briged 11 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga, di mana semua agensi telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL. Aset-aset yang digunakan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah ditempatkan di lokasi strategik seperti di pangkalan hadapan di setiap daerah.

     

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) bersedia dengan pewartaan 1,152 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan garis panduan penetapan dan pengendalian mangsa yang mengalami masalah kesihatan dikuatkuasakan. Bekalan keperluan asas semasa bencana juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi.

     

    Bagi melancarkan penyelarasan tindakan setiap agensi/kerajaan, Kerajaan Negeri telah memutuskan penugasan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL seperti berikut :

    BIL EXCO SKOP PENUGASAN
    1. YB Tuan Ng Sze Han Pemulihan Kawasan industri
    2. YB Ir. Izham Bin Hashim Pemulihan Infrastruktur
    3. YB Tuan Borhan Bin Aman Shah Pengurusan PPS
    4. YB Tuan Ng Suee Lim Pembersihan/PBT
    5. YB Datuk Rizam Bin Ismail Penyelarasan bencana luar bandar
    6. YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi Menyelaras Bantuan Sukarelawan
    7. YB Puan Jamaliah Binti Jamaluddin Kesihatan
    8. YB Tuan Papparaidu A/L Veraman Tugas-tugas Khas
    9. YB Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah Pengurusan telekomunikasi dan Masjid/Surau
    10. YB. Puan Anfaal Binti Saari Penyelarasan Kebajikan

     

    Unit Pengurusan Bencana melalui Smart Selangor Operations Centre (SSOC) beroperasi memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dengan District Disaster Opertaion Centre (DDOC) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian Bencana di Negeri Selangor.

  2. Sila nyatakan usaha untuk memastikan agar tiada penindihan derma oleh orang awam, dan tiada pembaziran/ lebihan derma seperti makanan dan baju, terutamanya.

    Segala sumbangan oleh orang awam, badan-badan sukarela, sektor korporat dan swasta akan diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang berpusat di Pejabat Daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.