Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

245) KESESAKAN LALU LINTAS

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah Kerajaan Negeri bersedia untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) terhadap isu kesesakan lalu lintas?

    Pada bulan Januari 2024, Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar ke atas cadangan penubuhan Selangor Mobility Lab (SML) yang merupakan pusat penyelidikan inovasi dan pusat analisis sistem pengangkutan awam Negeri Selangor sebagai salah satu inisiatif di bawah Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri Selangor.

    SML akan menggunakan platform kecerdasan buatan (Artificial Intelligence [AI]) yang kukuh untuk melaksanakan kajian penggunaan sistem pengangkutan awam dan aliran trafik dalam skala besar dan analisis visual di bandar-bandar utama di Negeri Selangor. Antara skop SML adalah termasuk pembangunan AI Trafik iaitu algoritma untuk mengesan statistik pergerakan trafik dan meramalkan aliran trafik bandar berdasarkan data-data trafik tempatan.

    Cadangan penubuhan SML ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut melalui sesi libat urus dengan pihak Kementerian Pengangkutan pada bulan Mac 2024 kerana pengangkutan secara umumnya adalah terletak di bawah bidang kuasa pihak Kerajaan Persekutuan. Perbincangan lanjut tersebut dijangka dapat membantu pihak Kerajaan Negeri untuk memperolehi sokongan daripada pihak Kerajaan Persekutuan terhadap penubuhan SML ini selain menggariskan sempadan skop kajian pengangkutan awam yang bakal dilaksanakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.