Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

23) KESELAMATAN PENUNGGANG BASIKAL

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik kejadian kemalangan yang melibatkan penunggang basikal di jalanraya.

    Seperti dilampiran

  2. Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan keselamatan penunggang basikal di jalanraya?

    Langkah-langkah yang telah dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor bagi memastikan keselamatan penunggang basikal di jalanraya dengan cara:-

     

    1. Memperbanyakkan kempen-kempen keselamatan jalanraya kepada masyarakat terutama kepada pengguna jalanraya terutamanya kepada penunggang basikal;

     

    1. Mempertingkatkan advokasi kepada mana-mana penunggang basikal yang menjalankan aktiviti riadah setiap hujung minggu dimana-mana jalan terutama yang akan menggunakan lebuhraya yang tidak diwartakan; dan

     

    1. JPJ Selangor akan membuat sekatan di lokasi-lokasi yang selalu digunakan oleh pengunggang basikal secara berkala agar kesedaran sentiasa dapat dipupuk bagi memastikan keselamatan mereka akan sentiasa terjamin semasa beriadah.

     

    Peruntukan Akta dan Kaedah yang berkuatkuasa;

     a)Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1978 (Akta 333) (Basikal Lajak)

    1. Peruntukkan ini dibaca bersama dengan Seksyen 42(1) APJ 1987 yang menjelaskan kesalahan pemanduan secara melulu dan membahayakan dan di baca bersama.
    2. Hukuman dan penalti yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah sebanyak RM300.00 bagi kesalahan pertama dan RM1000.00 atau penjara bagi tempoh tiga (3) bulan bagi kesalahan kedua.

     

    Kaedah Kaedah Lalu lintas Jalan (1959)

     

    Kaedah 42 – Sekatan terhadap penunggang basikal dan basikal roda tiga.

    Kaedah 42 (1)(a);

    Basikal hendaklah dilengkapi dengan loceng dan brek yang efektif pada dua (2) tayar.

    Kaedah 42(3);

    Penunggang basikal hendaklah mengayuh dalam satu deretan

     

    Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan adalah terhad dan sukar untuk dijalankan terhadap penunggang basikal kerana tidak disyaratkan untuk membayar cukai jalan dan juga dikategorikan sebagai Off Road.

    Demi memastikan agar keselamatan penunggang basikal dapat dipertingkatkan maka cadangan agar aspek pengurusan aktiviti berbasikal yang di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menyediakan laluan-laluan basikal yang bersesuaian di kawasan seliaan masing-masing.

     

    Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor melaksanakan penguatkuasaan secara rondaan dan memberikan khidmat nasihat berserta teguran membina kepada penunggang basikal dari masa ke semasa. Manakala, Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat, JPJ Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor jua telah menjalankan beberapa aktiviti Advokasi Keselamatan Jalan Raya (KJR) sepanjang tahun 2021 yang mensasarkan penunggang basikal seperti berikut :

    * Pelaksanaan advokasi bermula setelah mendapat SOP Majlis Keselamatan Negara membenarkan aktiviti rekreasi dijalankan.

    Antara initipati advokasi KJR berkenaan adalah seperti berikut:

    1. Penekanan konsep kebolehlihatan‘Be Seen, Be Safe’ (Link Youtube : https://youtu.be/Eb1avc3fbpk) untuk penunggang basikal supaya sentiasa mengamalkan pemakaian pakaian berwarna cerah terutamanya pada waktu malam untuk memastikan pengguna jalan raya lain di sekeliling boleh melihat kehadiran mereka di atas jalan raya.
    2. Penunggang basikal turut dinasihati dan disarankan untuk memastikan pemasangan aksesori keselamatan seperti lampu hadapan, brek, loceng dan lampu kecemasan (di belakang). Malah, keperluan untuk melindungi diri daripada kecelakaan serius dengan mengunakan topi keledar keselamatan basikal, pelindung tangan, lutut dan siku turut ditekankan.
    3. Penunggang basikal juga turut dinasihati agar tidak menggunakan lorong utama kenderaan di lebuh raya dan menjaga penjarakan dengan kenderaan lain.
  3. Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membina bilik mandi dan tandas awam bagi kemudahan penunggang basikal ke Batu Arang?

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, MPS mempunyai perancangan untuk menaiktaraf kemudahan awam di Pekan Warisan Batu Arang. Sehubungan dengan itu, MPS telah menyediakan kertas kerja permohonan peruntukan bagi peningkatan kemudahan pelancongan di Pekan Warisan Batu Arang yang merangkumi komponen- komponen projek seperti membina tandas awam beserta bilik mandi, menaiktaraf laluan basikal, membina pintu gerbang, bangku taman, menaiktaraf landskap di dataran bulatan Pekan Batu Arang, membina papan tanda maklumat sejarah dan warisan (infographic board), memasang papan tanda lokasi dan membina parkir awam.

    Kertas kerja ini telah dihantar ke Seksyen Kerajaan Tempatan UPEN untuk tujuan permohonan peruntukan di bawah Jawatankuasa Tetap Pelancongan bagi tahun 2022.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.