Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
343) KESEJAHTERAAN HAIWAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan kesejahteraan haiwan dan pengurusan haiwan terbiar?
Langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan kesejahteraan haiwan dan pengurusan haiwan terbiar adalah :
i. Menganjurkan kempen-kempen mempromosikan kesejahteraan haiwan termasuk di Hari Veterinar, Hari Bertemu Pelanggan, Hari Tanpa Kenderaan, Selangor Agrogreen dan program-program lain yang berkaitan dengan objektif memupuk kesedaran, budaya penyayang dan prihatin kepada kebajikan haiwan.
ii. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS Selangor) menjalankan program berbentuk forum dan taklimat kepada pusat-pusat jagaan haiwan di bawah pertubuhan bukan Kerajaan (NGOs) dengan kerjasama PBT mengenai lima teras bagi kesejahteraan haiwan meliputi persekitaran sesuai untuk haiwan, menyediakan diet yang sesuai, dilindungi daripada kesakitan, penderitaan dan kecederaan/penyakit.
iii. PBT perlu menguruskan haiwan terbiar mengikut Kod Amalan Kebajikan Haiwan (KAKH) iaitu Aktiviti Kawalan Haiwan Terbiar Serta Pengurusan Tempat Kurungan Dan Perlindungan Haiwan yang menitikberatkan cara penangkapan dan penyimpanan haiwan di paun sebelum haiwan di adopt atau dilupuskan.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri menangani isu peningkatan populasi haiwan terbiar?
Kerajaan Negeri menangani isu peningkatan populasi haiwan terbiar dengan cara :
i. Pihak-pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan operasi penangkapan haiwan-haiwan terbiar dari masa ke semasa termasuk mempromosi “adoption” untuk anjing dan kucing serta jualan/lelong bagi ternakan sekiranya tidak dituntut pemilik.
ii. PBT dan NGO seperti PAWS dan SPCA serta klinik veterinar swasta menjalankan kempen pemandulan haiwan di mana DVS Selangor sentiasa menyokong dan memastikan program tersebut mematuhi perkara-perkara yang termaktub dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Doktor Veterinar 1974.
-
Apakah program kesedaran yang dijalankan untuk mempromosikan tanggungjawab pemilik haiwan?
Program kesedaran yang dijalankan untuk mempromosikan tanggungjawab pemilik haiwan adalah :
i. Sesi ceramah dan taklimat berkaitan perkara ini yang dimasukkan dalam kebanyakan program utama seperti MAHA, Selangor Agrofest, Hari Veterinar, Hari Bertemu Pelanggan, Hari Tanpa Kenderaan dan program-program lain yang berkaitan.
ii. Klinik Veterinar Bergerak sering diadakan bagi menggalakkan pemeriksaan kesihatan berkala, pemvaksinan dan pencegahan penyakit-penyakit lain.
iii. Penguatkuasaan, penangkapan dan pendakwaan ke atas individu-individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 sebagai peringatan kepada ahli-ahli masyarakat lain supaya bertanggungjawab ke atas haiwan kesayangan masing-masing.
iv. Kempen menggalakkan penggunaan “pet passport” sebagai bukti pemilikan sesuatu haiwan kesayangan.