Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

117) KESEDARAN POLITIK

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah ada usaha untuk memberi pendidikan dan kesedaran politik bernegara bagi pengundi 18 tahun?

    Golongan belia adalah kelompok utama rakan pembangunan masyarakat pada masa kini dan akan datang. Mereka perlu memahami dan menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan memimpin di pelbagai peringkat yang bersesuaian. Belia juga bakal mengisi majoriti pengundi muda dalam pilihanraya yang akan datang seiring dengan kelulusan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan mula dilaksanakan di Malaysia dan Selangor khususnya. Justeru, pemahaman tentang politik, demokrasi dan kepimpinan sangat penting kerana ia mempengaruhi gaya hidup, gaya fikir dan sosialisasi rakyat Selangor termasuk belia dalam mengendali kehidupan bermasyarakat mereka.

    Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan telah menjalankan Kajian Penyelidikan Undi 18 – Landskap Persepsi dan Impak Belia dan Masyarakat Terhadap Demokrasi di Selangor oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dan Universiti Selangor (UNISEL) untuk melihat kesediaan dan persepsi mereka untuk mengundi pada pilihan raya ke-15 akan datang.

    Berdasarkan kajian yang telah dibuat, di antara usaha dan persediaan yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam mendidik dan memberi kesedaran politik bagi pengundi 18 tahun agar masyarakat dapat memahami pendemokrasian dan pilihan raya yang matang, adil dan saksama adalah seperti berikut:-

    i) Usaha ini perlu melibatkan inisiatif di pelbagai peringkat termasuk pada peringkat awal persekolahan yang mana modul dan silibus pendidikan perlu disemak semula agar pendedahan berkaitan demokrasi dan politik dapat dibuat;

    ii) Mempergiatkan program dan pelatihan politik untuk generasi muda;

    iii)    Memperkenalkan kurikulum berkaitan politik sejak sekolah menengah;

    iv) Memberi ruang kepada golongan muda bebas berpolitik tanpa sekatan;

    v) Ibu bapa berperanan untuk mewujudkan persekitaran menentukan pilihan secara bebas dalam keluarga;

    vi) Memberikan kebebasan dalam pilihan raya kampus;

    vii)   Memperbanyakkan program-program yang menimbulkan kesedaran kenegaraan dan demokrasi di kalangan generasi muda sejak dari sekolah dengan pendekatan yang lebih kreatif;

    viii) Memberikan peluang kepada golongan muda untuk melontarkan idea dan pendapat berkaitan sistem politik dan pentadbiran negara kerana penglibatan golongan anak muda penting dalam menjadi sebahagian daripada penentu dasar negara antaranya melibatkan ekonomi dan pendidikan;

    ix) Pemerkasaan anak muda perlu dipergiatkan lagi dengan menambahbaik akses pendidikan untuk semua dalam usaha untuk melahirkan anak muda yang berpendidikan tinggi dan berperibadian mulia; dan

    x) Kerajaan Negeri perlu lebih prihatin dengan golongan belia dengan memberikan peluang kepada belia berpersatuan dan berpolitik.

Lampiran

Tiada Lampiran.