Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

282) KESEDARAN PENJAGAAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar bagi mengurangkan risiko banjir?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar sebagai usaha mengurangkan risiko banjir. Antara inisiatif yang telah diambil seperti berikut:

    1. Penganjuran program pendidikan dan latihan di peringkat komuniti
    • Memberi pendedahan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan melalui penganjuran latihan kepadagolongan komuniti bagi menghadapi risiko banjir seperti latihan simulasi dan taklimat pengurusan bencana banjir yang telah dianjurkan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor;
    • Mendidik masyarakat melalui penganjuran kempen/program berkaitan kebersihan persekitaran seperti pengurusan sisa pepejal di rumah dan Program Hari Cuci Malaysia 2024 peringkat Majlis Perbandaran Hulu Selangor yang telah diadakan di kawasan Bukit Sentosa.

      2. Penganjuran Kempen Kesedaran Awam

    • Penganjuran program seperti Karnival Alam Sekitar dan Cintailah Sungai Kita diadakan bagi mendidik masyarakat mengenai kelestarian alam sekitar dan kesan pembuangan sampah yang boleh mengganggu sistem saliran dan menyebabkan banjir kilat;
    • Selain itu, penganjuran Program Taklimat Kesedaran Alam Sekitar dan Kebersihan Peringkat Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Program Pameran Kitar Semula anjuran Selayang Mall sempena Minggu Alam Sekitar turut diadakan bagi memupuk sikap bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar dikalangan generasi muda.

    3. Program Pemuliharaan Sungai dan Sistem Saliran

    • Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah memperkenalkan program Friends of Rivers yang melibatkan kerjasama masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam aktiviti pembersihan dan pemuliharaan ekosistem sungai. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta rasa cinta masyarakat terhadap kepentingan sungai di Negeri Selangor serta pemeliharaan sungai secara konsisten.

      4. Penguatkuasaan Undang-Undang

    • Meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti pembuangan sampah haram dan pencemaran sungai melalui pemantauan lebih ketat oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan/Agensi Negeri;
    • Mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang menjalankan aktiviti pembangunan yang tidak mematuhi garis panduan yang berkuat kuasa semasa.

    5. Program Penanaman Pokok

    • Penganjuran program penanaman pokok di kawasan sensitif alam sekitar dan rizab sungai untuk meningkatkan kadar resapan air serta mengurangkan hakisan tanah;
    • Melalui program Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM), projek-projek penanaman pokok di kawasan tanah lembap dan hutan simpan sedang dilaksanakan sebagai penampan semula jadi yang dapat membantu mengurangkan risiko banjir.
  2. Apakah bentuk kempen pendidikan alam sekitar yang dilaksanakan di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan pelbagai bentuk kempen pendidikan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Antara kempen yang dilaksanakan seperti berikut:

    1. Kempen Bebas Plastik Negeri Selangor yang dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak pelancaran Program Kutipan Caj Beg Plastik Negeri Selangor pada tahun 2020;
    2. Karnival Alam Sekitar Negeri Selangor yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada Julai dan Oktober 2024 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aktiviti kitar semula, penggunaan produk mesra alam dan mengurangkan penggunaan plastik;
    3. Karnival Jom E-Waste anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai kepentingan mengurus dan melupuskan e-waste dengan cara yang betul dan mesra alam;
    4. Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah mengambil inisiatif melancarkan Program Rakan Alam Sekitar (RAS) sejak tahun 2009 mengikut kawasan Parlimen di mana wakil rakyat atau pemimpin masyarakat bersama-sama rakyat melaksanakan program kesedaran alam sekitar secarahands-on dan juga setiap ahli RAS juga akan bertindak sebagai mata dan telinga Kerajaan bagi menangani isu-isu alam sekitar secara kolektif.
    5. Menerusi JAS Negeri Selangor juga, program-program kesedaran melalui penganjuran seminar, ceramah, pameran dan sebaran maklumat melalui media massa dan media sosial mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, penyebaran risalah-risalah dan buletin alam sekitar turut diadakan di kalangan komuniti.
    6. Penganjuran Program Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS) dan Kem Pra-Sekolah Lestari turut dilaksanakan di peringkat generasi muda khususnya pelajar-pelajar sekolah di Negeri Selangor.
    7. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mewujudkan polisi pelaksanaan amalan 3R untuk masyarakat dan setiap premis kediaman, komersial, industri yang beroperasi di kawasan Shah Alam. Polisi ini turut merangkumi peranan agensi kerajaan dan swasta dalam memperkasakan dan membudayakan amalan pengurusan sisa.

    Menerusi pelbagai inisiatif ini, Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam mendidik masyarakat untuk lebih menghargai dan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

  3. Bagaimana Kerajaan Negeri melibatkan NGO dalam usaha penjagaan alam sekitar?

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah melaksanakan pelbagai inisiatif penjagaan alam sekitar di mana matlamat utama adalah untuk memastikan keseimbangan ekosistem dalam jangka masa panjang. Pada masa yang sama, usaha ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Antara inisiatif yang melibatkan NGO adalah seperti berikut:

    1. Kerajaan Negeri bekerjasama dengan NGO yang bertindak sebagai rakan strategik dalam penganjuran program/kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar seperti penanaman pokok, kitar semula dan membersihkan sungai di mana pihak NGO bertindak sebagai ejen atau wakil masyarakat untuk menarik penyertaan orang ramai;
    2. Pihak NGO turut dilibatkan dalam Sesi Libat Urus dengan Kerajaan Negeri untuk memberikan pandangan mengenai keberkesanan sesuatu dasar atau mencadangkan idea yang lebih baik dan praktikal yang mana lebih sesuai dan lestari. Contohnya, dalam pembangunan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan WWF Malaysia memberi pandangan mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem dalam menangani banjir.
    3. Pihak NGO turut bertindak sebagai Pemantau bagi memastikan dasar yang dilaksanakan memberi impak positif dan tidak menjejaskan alam sekitar. Pihak NGO juga turut memberikan nasihat teknikal dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek pemuliharaan, seperti penanaman pokok dan pemulihan sungai. Contohnya, Global Environment Centre (GEC) bekerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) bagi pemulihan hutan paya gambut untuk mengurangkan risiko banjir.

    Dengan penglibatan NGO dan pelbagai lapisan masyarakat, usaha untuk menjaga keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam sekitar dapat diperkasakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.