Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

308) KESEDARAN DAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan sumber alam, terutamanya di kalangan pelajar dan komuniti setempat?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran pemuliharaan sumber alam, khususnya di kalangan pelajar dan komuniti setempat. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dirangka untuk tujuan ini. Antara inisiatif tersebut adalah seperti berikut:

    1. Program Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor
    • Program yang memfokuskan kepada aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman mengenai konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Program yang melibatkan sekolah-sekolah di Negeri Selangor ini juga merupakan program yang memberikan pengiktirafan bagi sekolah-sekolah yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar dalam semua aspek seperti kurikulum, penghijauan, teknologi hijau dan lain-lain.

     

    2. Kempen Kesedaran Alam Sekitar

    • Antara kempen-kempen yang telah dilaksanakan adalah:
    • Karnival Alam Sekitar anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN);
    • Program E-Waste Recycling Bersama Komuniti Klang anjuran Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK);
    • Program Pengasingan Sisa Sekolah oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya;
    • Penyediaan Tong Buangan Sisa Elektronik (E-Waste) Di Kawasan Tumpuan Awam di Majlis Daerah Sabak Bernam; dan
    • Pameran Kitar Semula Di Karnival Ekstrem Geopark @ Gua Damai Extreme Park oleh Majlis Perbandaran Selayang.

     

    3. Pembangunan dasar dan polisi alam sekitar

    • Pembangunan dasar dan polisi alam sekitar memainkan peranan penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar. Dasar dan polisi ini bukan sahaja menyediakan garis panduan yang jelas kepada masyarakat dan industri, tetapi juga membantu memastikan usaha pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Ianya juga mengandungi prinsip dan garis panduan yang membantu masyarakat untuk memahami kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Sebagai contoh seperti Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor membantu rakyat untuk memahami langkah-langkah pengurangan karbon dan kesan pemanasan global. Melalui pendidikan, penguatkuasaan, pemberian insentif dan pelaksanaan program komuniti, dasar ini dapat mendorong masyarakat untuk mengambil peranan yang aktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar demi generasi akan datang.

    Daripada  aspek pendidikan pula, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mewujudkan modul dan program berkaitan kitar semula, pengumpulan sisa elektronik (E-Waste) dan penghijauan sebagai salah satu elemen Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk sekolah-sekolah di Negeri Selangor. Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri berharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan berupaya mengamalkan gaya hidup yang lestari.

  2. Apakah diantara semua isu alam sekitar perlu diberi keutamaan dalam usaha kempen kesedaran kepentingan alam sekitar?

    Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar, beberapa isu utama perlu diberi perhatian kerana ianya memberi impak terhadap kehidupan masyarakat dan keseimbangan ekosistem. Antara isu alam sekitar yang menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri dalam penganjuran kempen kesedaran adalah seperti berikut:

     

    1. Pencemaran Plastik dan Pengurusan Sisa
    • Penggunaan plastik sekali guna yang berlebihan menyumbang kepada pencemaran sungai dan laut.  Keutamaan diberikan kepada kempen pengurangan penggunaan plastik, informasi berkaitan kitar semula dan zero waste untuk menggalakkan amalan mesra alam dalam kehidupan harian.

    2. Pemuliharaan Sumber Air dan Sungai

    • Sungai yang tercemar akibat sampah dan sisa industri memberi kesan kepada sumber air bersih. Kempen kesedaran seperti Cintai Sungai Kita anjuran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi perlu diperluaskan untuk menanam rasa tanggungjawab terhadap penjagaan sumber air.
    • Penghijauan dan Pemuliharaan Hutan
    • Peningkatan kadar pembukaan tanah untuk pembangunan menyebabkan kehilangan kawasan hutan dan tadahan air. Inisiatif seperti penanaman pokok dan pemuliharaan hutan perlu diberi perhatian dalam kempen kesedaran awam seperti Program Central Forest Spine (CFS) dan Program Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

      3. Perubahan Iklim dan Pengurangan Karbon

    • Isu perubahan iklim perlu ditangani dengan menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai faktor penyumbang kepada perubahan iklim dan  penyebab berlakunya bencana supaya rakyat mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya. Pembangunan pesat, peningkatan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon yang tinggi antara faktor utama yang menyebabkan peningkatan suhu kesan daripada aktiviti sektor industri dan pengangkutan. Kempen pendidikan ini perlu diperluaskan dan diperkukuhkan supaya masyarakat memahami kepentingan gaya hidup yang mesra alam dan bersama-sama membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.

    Dengan memberi keutamaan kepada isu-isu ini, kempen kesedaran alam sekitar akan menjadi lebih berkesan dalam mendidik masyarakat serta memastikan keseimbangan di antara pemeliharaan dengan aktiviti pembangunan alam sekitar demi  kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

Lampiran

Tiada Lampiran.