Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

308) KESAN RANTAIAN EKONOMI OLEH PENINGKATAN CUKAI SST 8%

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kenaikan cukai SST 8% bagi sektor perkhidmatan akan datang, berkemungkinan besar akan mengakibatkan kesan rantaian ekonomi yang menghimpit rakyat. Apakah langkah Kerajaan Selangor untuk menghadapi perkara ini?

    Keterangkuman sosial dan kesejahteraan rakyat antara aspek yang paling penting dalam pembangunan negeri kerana ia mempunyai kesan langsung kepada rakyat. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan pembangunan ekonomi adalah selari dengan peningkatan kesejahteraan rakyat serta bersifat inklusif untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

     

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah melancarkan pelbagai inisiatif berjiwa rakyat terutamanya semasa pandemik untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi perhatian terutamanya bagi golongan rentan. Enam (6) bidang tumpuan telah dikenal pasti berdasarkan kajian yang terperinci terhadap pelbagai indeks kesejahteraan di Malaysia dan peringkat global untuk mengenal pasti faktor-faktor utama yang memberi impak kepada kesejahteraan rakyat. Sebanyak 21 strategi utama telah dikenal pasti dengan 72 program, projek dan inisiatif (PPI) untuk mencapai hasil yang disasarkan bagi memartabatkan kesejahteraan rakyat dan merealisasikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang inklusif dan sejahtera.

     

    Ahli Dewan yang dimuliakan, demi mendepani cabaran ekonomi yang dinamik serta impak kenaikan cukai SST 8% bagi sektor perkhidmatan akan datang, Kerajaan Negeri Selangor terus komited dalam memberikan khidmat dan bantuan kepada rakyat Selangor melalui 46 Inisiatif Selangor Penyayang (ISP). Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada enam (6) iltizam iaitu  Iltizam Kesihatan Selangor, Iltizam Keusahawanan Selangor, Iltizam Mesra Anak Selangor, Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor, Iltizam Pendidikan Selangor dan Iltizam Perumahan Selangor.

    Antara inisiatif yang dapat memberi kesan langsung kepada golongan sasar di Selangor adalah seperti Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk golongan B40 yang berpendapatan kurang dari RM3 ribu. Bermula tahun ini (2023), Kerajaan Negeri telah meningkatkan kadar pemberian daripada RM200.00 kepada RM300.00 setiap bulan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut meningkatkan kuota keseluruhan bagi penerima dari 25,000 penerima kepada 30,000 penerima.

     

    Jualan Ehsan Rakyat juga mampu membantu rakyat Selangor dalam mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih rendah bagi mengurangkan beban rakyat Selangor. Enam jenis barangan utama iaitu ayam, telur, daging, beras, ikan dan minyak masak dijual dengan harga 30% lebih rendah daripada pasaran.

     

    Selain daripada itu juga, Jom Shopping Perayaan juga merupakan bantuan berbentuk baucar bernilai RM200 kepada golongan B40 bersempena perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

     

    Oleh itu, melalui pelbagai inisiatif, bantuan serta pelan jangka masa panjang, Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa pihak Kerajaan sentiasa prihatin, komited serta cakna dan prihatin dalam pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.