Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
257) KESAN PERLAKSANAAN ECRL
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kesan ekosistem paya bakau dan persekitaran apabila projek ECRL seksyen 9 dari Gombak ke Klang bermula, terutama kepada golongan nelayan di perairan Sungai Puluh dan Sungai Klang?
Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi cadangan projek East Coast Rail Link (ECRL) Section C2 iaitu dari Gombak ke Pelabuhan Klang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 20 Disember 2021. Jajaran Seksyen 9 yang dimaksudkan adalah di kawasan Segmen 3: Puncak Alam ke Pelabuhan Klang di mana cadangan jajaran akan merentasi kawasan paya bakau Sungai Puloh pada struktur bertingkat (elevated alignment) sepanjang 3 kilometer (km) iaitu di CH64000 ke CH67000. Jajaran ECRL akan melalui kawasan paya bakau Sungai Puloh sebelum sampai ke Kampung Delek dan melalui Taman Sireh Pinang untuk sampai ke Jalan Kastam.
Pembinaan jajaran ECRL secara bertingkat ini akan melibatkan pembukaan kawasan bakau (land clearing) bagi tujuan pembinaan jalan masuk dan landasan keretapi menyebabkan kehilangan hutan paya bakau di kawasan yang terlibat dengan anggaran seluas 10.5 hektar dan kemerosotan habitat (habitat degradations) serta kehilangan fungsi penghalang bencana banjir secara semula jadi.
Berdasarkan kajian EIA juga, terdapat tiga (3) perkampungan nelayan iaitu Pengkalan Nelayan Rantau Panjang, Pengkalan Nelayan Kampung Delek dan Pengkalan Nelayan Sungai Sireh yang telah wujud di sepanjang Sungai Puloh dan Sungai Klang.
Sebagai langkah mitigasi ke atas gangguan kepada ekosistem paya bakau di kawasan-kawasan tersebut, langkah-langkah kawalan telah dicadangkan oleh pemaju projek dalam laporan Environmental Management Plan (EMP) seperti berikut:
- Struktur kawalan hakisan dan kelodakan yang dicadangkan perlu disediakan secara fizikal terlebih dahulu di tapak projek sebelum kerja-kerja tanah dan pembinaan dimulakan;
- Langkah-langkah pencegahan dan kawalan pencemaran hendaklah disediakan dan dilaksanakan dengan berkesan;
- Pihak pemaju perlu menyediakan Environment Officer (EO) dan Orang Yang Berwibawa (Competent Person) di tapak binaan bagi menyelia semua komponen-komponen Best Management Practices (BMPs) agar sentiasa dalam keadaan baik pada setiap masa; dan
- Langkah-langkah kawalan pencemaran terutamanya pelaksanaan BMPs di dalam kawasan pembangunan projek hendaklah dilaksanakan dengan berkesan bagi mengawal situasi yang berpotensi menyebabkan kacau ganggu kepada penerima sensitif di sekitarnya.
Selain itu, laporan EMP juga mengkehendaki pemaju projek mengadakan sesi libat urus secara berterusan dengan persatuan nelayan setempat bagi menangani impak yang dijangkakan dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaian yang sewajarnya.
-
Apakah jaminan hasil tangkapan nelayan tidak terkesan daripada projek ini?
Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengadakan perbincangan melalui sesi libat urus bersama Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang pada 2 Mac 2023 yang lalu. Berdasarkan sesi tersebut, tujuh (7) pengkalan nelayan telah dikenalpasti iaitu:-
- Pengkalan Nelayan Sungai Pulai
- Pengkalan Nelayan Sungai Keramat
- Pengkalan Nelayan Jalan Pengkalan (Genting)
- Pengkalan Nelayan Sayang di Sayang
- Pengkalan Nelayan Sungai Tengah
- Pengkalan Nelayan Sungai Daun
- Pengkalan Nelayan Jalan Kunci Air (Water Gate)
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada peringkat ini, pembinaan jajaran ECRL di segmen yang melalui kawasan paya bakau Sungai Puloh masih belum dimulakan. Namun demikian, pihak pemaju projek hendaklah melaksanakan kawalan yang rapi semasa peringkat kerja tanah dengan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat kelulusan laporan EIA dan EMP supaya tidak menjejaskan kualiti air sungai dan menjejaskan hasil tangkapan nelayan di Sungai Puloh dan Sungai Klang. Bagi melindungi ekosistem paya bakau dan menjamin hasil tangkapan nelayan tidak terjejas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menetapkan syarat-syarat berikut iaitu:
- Langkah kawalan bagi mencegah pencemaran akibat pelepasan jumlah pepejal terampai (Total Suspended Solids, TSS) dan tumpahan minyak dari kawasan projek: dan
- Pemasangan sistem amaran awal (Early Warning System, EWS) kualiti air Sungai Puloh dan Sungai Klang supaya status kualiti air sungai dapat dipantau secara real-time dan pengesanan awal kemerosotan kualiti air sungai bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memantau kerja-kerja yang dilaksanakan supaya mematuhi piawaian dan tidak memberikan kesan negatif kepada pihak berkepentingan.