Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
87) KESAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN ATAS SEKTOR PELANCONGAN
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila beri status terkini tentang kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke Selangor untuk suku tahun pertama tahun 2020, berbanding dengan tahun 2019.
Untuk makluman, penyediaan laporan statistik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke Negeri Selangor untuk suku tahun pertama tahun 2020 ini terpaksa ditunda kepada bulan Julai 2020 memandangkan Tourism Selangor terpaksa memanjangkan tempoh pengumpulan data sehingga 30 Jun 2020 kerana sebahagian besar sampel hotel bagi kajian ini tidak dapat memberikan maklumbalas data dalam tempoh PKP dikuatkuasakan.
Namun begitu, Jumlah kedatangan pelancong ke negeri Selangor pada tahun 2019 yang lalu mencatatkan prestasi yang baik dengan menerima sebanyak 7.62 juta orang pelancong, dengan peningkatan pada kadar 5% berbanding tahun sebelumnya.
Manakala, merujuk kepada Laporan Survey Pelancongan Domestik 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor berada di tangga pertama, negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelawat (visitor) domestik berbanding negeri-negeri lain pada tahun 2019 iaitu seramai 33.6 juta pelawat. Diikuti oleh W.P Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).
-
Apa langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan pelancongan tempatan bertambah baik?
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah penggiat Industri Pelancongan Negeri bagi membangun dan memulihkan semula industri ini dalam situasi Covid-19 seperti yang berikut:-
- Pakej Rangsangan Ekonomi melalui bantuan ‘one-off’ kepada pemandu pelancong/hos komuniti/penyelaras homestay berlesen sebanyak RM1,000.00 seorang, bagi tujuan pegumpulan data-duta kecil pelancongan Selangor.
- Pakej Rangsangan Ekonomi melalui penerbitan subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai bantuan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2,000,000.00).
- Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan “Pusing Selangor Dulu” yang memberi penekanan kepada pasaran domestik.
- Aktiviti promosi pelancongan norma baharu melalui penglibatan di dalam program promosi pelancongan yang menggunakan platform digital dan atas talian seperti MITA e-Travel Fair dan MITA “Business to Business” Inbound Marketplace dan penganjuran program promosi Selangor E-Travel Fair dimana Tourism Selangor dapat berhubung dan berinteraksi bagi menyampaikan tawaran-tawaran serta maklumat terkini industri pelancongan di negeri Selangor kepada pihak agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan dan pihak berkaitan industri pelancongan lain serta para pelancong secara terus tanpa bersemuka
- Penganjuran Program Jelajah Persona Negeri Selangor khusus bagi pasaran domestik seperti ke Negeri Johor, Pulau Pinang dan Terengganu.
- Kempen promosi pelancongan melalui medium pengiklanan ‘Outdoor Billboard’, ‘Unipole’ dan ‘ Digital Billboard’ di beberapa kawasan yang terpilih seperti Johor, Kedah, Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
- Penganjuran program Familiarization Trip (FAM Trip) yang melibatkan pihak media, agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa
- Penyediaan pakej pelancongan yang melibatkan integrasi promosi antara 9 Daerah di Negeri Selangor
- Penganjuran Acara Pelancongan norma baharu yang menekankan SOP (Standard Operation Procedure) mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).