Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

278) KESAN PELAKSANAAN GST

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah perbelanjaan keseluruhan yang telah digunakan oleh agensi-agensi kerajaan negeri serta PBT-PBT untuk menaiktarafkan sistem sokongan GST?

    Akta Cukai Barangan & Perkhidmatan 2014 (Akta 762) telah mula dikuatkuasakan bermula pada 1 April 2015. Berdasarkan Seksyen 64(a) Akta 762, akta berkenaan adalah tidak terpakai terhadap barangan dan perkhidmatan yang sediakan oleh Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri kecuali bagi lain-lain perkara yang dinyatakan selainnya oleh Menteri menerusi pemberitahuan di dalam Warta. Sehubungan itu, pembekalan barangan dan perkhidmatan yang dibuat oleh Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah di luar skop kenaan GST. Berdasarkan fakta ini, tiada apa-apa perbelanjaan tambahan dibuat berkaitan dengan sistem sokongan GST di peringkat Agensi Kerajaan Negeri.

    Sungguhpun begitu, semua barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah tertakluk kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6% kecuali perkhidmatan yang berkaitan dengan fungsi penguatkuasaan dan pengawalseliaan. Sebagai persediaan kepada pelaksanaan akta tersebut, terdapat lima (5) PBT di Negeri Selangor yang telah membelanjakan tambahan kos berjumlah RM 358,605.00 bagi menaiktaraf sistem kewangan masing-masing supaya dapat memperincikan jumlah kutipan GST bagi tujuan pelaporan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Senarai lima (5) PBT tersebut adalah seperti berikut:-

    BIL PIHAK BERKUASA TEMPATAN JUMLAH (RM)
    1 Majlis Bandaraya Shah Alam 121,805.00
    2 Majlis Perbandaran Sepang 80,000.00
    3 Majlis Daerah Sabak Bernam 20,000.00
    4 Majlis Daerah Hulu Selangor 19,800.00
    5 Majlis Daerah Kuala Langat 117,000.00
    Jumlah 358,605.00
  2. Nyatakan jumlah GST yang telah dibayar mengikut PBT serta agensi-agensi kerajaan negeri yang lain.

    Berdasarkan peraturan semasa di bawah Akta 762, mana-mana pihak yang berdaftar dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah kerangka GST Malaysia hendaklah mengenakan GST terhadap output barangan dan perkhidmatan bercukai yang disediakan untuk pelanggannya. Pihak tersebut selanjutnya dibenarkan untuk menuntut semula sebagai kredit apa-apa GST yang dikenakan dalam belian-belian yang menjadi input kepada perniagaannya. Cukai yang dituntut semula ini dinamakan sebagai Input Tax. Memandangkan PBT juga merupakan pihak yang berdaftar di bawah kerangka GST Malaysia, maka PBT juga layak menuntut kembali Input Tax yang telah dibayar. Berikut disenaraikan jumlah bayaran GST (Output Tax) yang telah dibuat oleh PBT di Negeri Selangor di mana jumlah bayaran ini dipengaruhi oleh jumlah Input Tax yang layak dituntut semula:-

    PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) BAYARAN GST (RM)
    MBSA 288,680.26
    MBPJ (259,027.23)
    MPSJ 78,792.31
    MPK (1,301,001.10)
    MPKj (85,690.84)
    MPAJ 33,427.47
    MPSp 369,902.48
    MPS 15,047.30
    MDKL 8,925.10
    MDKS 15,298.66
    MDHS 28,239.36
    MDSB 2,154.96
    JUMLAH (805,251.27)

    Nota :

    PBT yang merekodkan jumlah negatif (-) merupakan PBT yang memiliki tuntutan Input Tax yang belum dibayar balik oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

  3. Apakah kesan-kesan sampingan lain yang telah dan mungkin akan timbul terhadap perjalanan agensi-agensi kerajaan negeri?

    Belanjawan 2015 telah diluluskan sebanyak RM2,422,500,000.00 iaitu RM1,288,530,000.00 bagi perbelanjaan Mengurus dan RM1,133,970,000.00 bagi perbelanjaan Pembangunan. Sehingga 30 Jun 2015, prestasi perbelanjaan (termasuk tanggungan) Kerajaan Negeri ialah sebanyak 41.95% daripada peruntukan yang telah diagihkan dan ini menunjukkan prestasi yang direkodkan adalah mengikut perancangan. Oleh itu, cukai GST tidak memberi kesan yang signifikan ke atas Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2015 mahupun perjalanan agensi-agensi Kerajaan Negeri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.