Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
87) KESAN EKONOMI GLOBAL
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menerokai bidang ekonomi baru yang boleh memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengeksploitasi sumber dan mencari kaedah untuk menerokai bidang ekonomi yang baru supaya menjadi lebih maju dan berdaya saing. Pada masa ini, Kerajaan Negeri menggalakkan penglibatan di dalam industri yang berpotensi seperti bioteknologi, industri penerbangan dan industri solar. Kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) adalah penting bagi mewujudkan koordinasi pelaburan mantap serta menyediakan insentif-insentif lain seperti tanah, air, infrastruktur dan terutamanya tenaga mahir bagi menarik minat pelabur dalam bidang ekonomi baru di negeri Selangor. Setakat bulan April 2009, terdapat dua (2) projek berasaskan aeronautik yang menarik masuk pelaburan luar sebanyak RM 20 juta dan membuka sebanyak 362 peluang pekerjaan. Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pelaburan pihak Q-Cells daripada negara Jerman sebanyak RM 2.6 bilion bagi menghasilkan produk berkaitan sistem solar di Sepang, Selangor.
-
Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri yang telah dibuat bagi membantu rakyat berdikari dan tidak hanya mengharap pekerjaan yang diperolehi dari pelabur luar?
Negeri Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara juga merupakan penyumbang kepada penyediaan peluang pekerjaan. Atas kesedaran itulah maka Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Program Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor dengan peruntukan sebanyak RM50 bilion dalam bentuk
Private Finance Initiative (PFI).
Melalui pakej ini, lima(5) bidang utama telah digariskan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri Selangor untuk jangka pendek dan jangka panjang. Lima (5) bidang tersebut ialah:
- Pemulihan dan pembersihan sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rizab;
- Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR);
- Usaha menaik taraf dan menggantikan aset air berikutan pengambilalihan aset air Selangor oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB);
- Pembaharuan aktiviti di bandar iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar di Petaling Jaya dan Klang; dan
- Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai.
Melalui lima bidang ini Kerajaan Negeri yakin bahawa ia akan mampu menyediakan lebih 150 ribu peluang pekerjaan dan membuka banyak peluang perniagaan bagi penduduk setempat.
-
Bagaimanakah tindakan kerajaan negeri terhadap pekerja-pekerja asing yang mula menjejaskan pendapatan rakyat tempatan, seperti menguasai perniagaan pasar malam dan kawasan tertentu?
Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengawasi pendatang asing di beberapa kawasan sekitar negeri Selangor. Salah satu langkah pencegahan (preventive) yang telah diambil oleh Jabatan Imigresen Negeri Selangor ialah dengan membatalkan visa kemasukan pekerja asing Bangladesh berkuat kuasa 10 Mac 2009. Selain daripada itu, terdapat beberapa operasi pengawalan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak Imigresen dan Jabatan/Agensi penguatkuasaan lain di negeri Selangor seperti berikut :
Statistik Tahunan Operasi Penguatkuasaan Kegiatan Pendatang Asing
BIL OPERASI 2006 2007 2008 Jan-Mei 2009 1. Operasi Imigresen 1,390 3035 11,044 1,481 2. Operasi RELA 6,383 16,165 823 3,214 3. Operasi Agensi Lain 124 951 465 452 4. Operasi Pelabuhan Klang 41 348 68 11 5. Tangkapan Kes Rujukan 565 1,137 2,356 1,119 6. OKT Pendakwaan 940 11,539 2,438 2,802 JUMLAH TANGKAPAN 9,443 33,175 17,194 9,079 JUMLAH KOMPAUN (RM)
417,120 1,056,151 1,982,889 714,131 Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Selangor
Pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Negeri Selangor juga sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan menggalakkan penubuhan polis komuniti yang boleh merapatkan hubungan masyarakat dengan pihak polis serta membantu pihak polis di dalam memberikan maklumat mengenai kegiatan jenayah di sesebuah komuniti tersebut.