Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

27) KESAN EKONOMI COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana Covid-19 menjejaskan prestasi pendapatan negeri pada tahun ini?

    Tidak dinafikan Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada prestasi pendapatan Kerajaan Negeri pada tahun ini. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 telah memberi impak kepada kutipan hasil berikutan keadaan ekonomi yang kurang stabil akibat pendemik ini.

    Status pendapatan Kerajaan Negeri sehingga 16 Oktober 2020 secara keseluruhannya adalah sebanyak RM1,949.09 juta atau 88.59 peratus daripada anggaran hasil RM2.2 bilion. Kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak RM578.17 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM1,134.83 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM236.09 juta.

    Daripada jumlah kutipan tersebut, hasil yang terjejas sehingga 16 Oktober 2020 adalah daripada Hasil Cukai dengan jumlah kutipan sebanyak RM578.17 juta berbanding RM641.73 juta pada 16 Oktober 2019 iaitu telah berlaku penurunan sebanyak 9.90 peratus iaitu RM63.56 juta. Hasil Cukai adalah terdiri daripada Cukai Tanah, Caruman Parit, Cukai Hasil Hutan dan Cukai Hiburan.

    Hasil Bukan Cukai mencatatkan peningkatan sebanyak 12.56 peratus iaitu RM126.66 juta, manakala Terimaan Bukan Hasil pula menurun sebanyak 1.75 peratus iaitu RM4.2 juta berbanding pada tempoh yang sama tahun 2019.

    Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya hasil Negeri pada 16 Oktober 2020 mencatatkan peningkatan sebanyak 3.12 peratus iaitu RM58.9 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

  2. Bagaimana Kerajaan Negeri mengatasi masalah tersebut?

    Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengatasi masalah tersebut dan memastikan prestasi pendapatan Negeri tidak terjejas dengan teruk ekoran Pandemik COVID-19 ini :

    1. Bagi Hasil Cukai Tanah:

    (i) Kerajaan Negeri melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 1 yang diumumkan pada 20 Mac 2020 telah melanjutkan tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 31 Mei kepada 30 Jun 2020 dan dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 2 telah melanjutkan sekali lagi tempoh akhir bayaran cukai tanah/ petak dari 30 Jun kepada 31 Julai 2020;

    (ii) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta kesemua Pejabat Daerah/ Tanah berusaha untuk mengatasi kehilangan hasil cukai tanah dan akan melaksanakan lebih banyak program kutipan turun padang di kawasan-kawasan yang dikenalpasti iaitu kawasan perumahan dan tempat-tempat tumpuan awam seperti pasar pagi, pasar malam dan juga kompleks membeli belah bagi memudahkan orang ramai untuk membayar cukai tanpa perlu hadir ke mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah; dan

    (iii) Selain itu, usaha meningkatkan kesedaran mengenai pembayaran cukai tanah juga dilaksanakan melalui hebahan flyers dan surat khabar

    2. Bagi Hasil Premium Tanah, Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada pemaju atau individu bagi membayar premium tanah secara berperingkat tanpa menjejaskan hasrat pemajuan tanah. Inisiatif kemudahan pembayaran premium yang diberikan adalah:

    (i) melanjutkan tempoh pembayaran premium Notis Borang 5A dan premium tambahan Notis Borang 7G sehingga 30 September 2020 bagi notis-notis yang akan tamat dan telah tamat tempoh bayaran dari 1 Januari 2020 sehingga 31 Ogos 2020; dan

    (ii) pembayaran premium tanah secara ansuran selama 6 bulan sehingga 31 Mac 2021 kepada Notis Borang 5A dan Notis Borang 7G yang belum tamat tempoh dalam Fasa 6 PKPP (10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020).

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melaksanakan instrumen kawalan perbelanjaan yang berhemah berteraskan konsep integriti dan mengekang perbelanjaan yang tidak perlu supaya pengurusan perolehan memberikan pulangan terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan (value for money).

Lampiran

Tiada Lampiran.