Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

212) KESAN BREXIT KEPADA SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang daripada referendum Brexit kepada Selangor?

    Pada masa ini Kerajaan Negeri masih belum menjalankan kajian terhadap kesan positif dan negatif sama ada jangka panjang atau pendek Brexit terhadap iklim pelaburan di Selangor.

    Secara dasarnya Brexit tidak membawa impak yang besar ke atas pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor kerana impak Brexit lebih tertumpu kepada UK dan Negara-negara Eropah. Aktiviti perdagangan Malaysia lebih tertumpu kepada kepelbagaian eksport ke Negara China, India dan Timur Tengah. Oleh itu impak Brexit kepada ekonomi Malaysia dan Selangor khususnya adalah minimum.

    Berdasarkan statistik kelulusan projek-projek perkilangan di Selangor daripada tahun 1987 hingga Mac 2016, pelabur-pelabur utama yang melabur di Negeri Selangor adalah para pelabur daripada Jepun (RM24.235 bilion), Amerika Syarikat (RM4.676 bilion), Singapura (RM10.666 bilion), Jerman (RM5.695 bilion), Taiwan (RM4.207 bilion) dan Korea (RM3.735 bilion). Manakala pelabur daripada United Kingdom berada di tangga ke tujuh sebagai pelabur utama di Negeri Selangor dengan pelaburan bernilai RM2.356 bilion.

  2. Apakah pelan tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani kesan tersebut?

    Bagi menangani kesan Brexit ini kita akan meneruskan usaha-usaha promosi, fasilitasi dan koordinasi dengan para pelabur berpotensi. Malahan sebaik sahaja keputusan Brexit diumumkan, Invest Selangor telah mengambil peluang untuk membuat pembentangan di Farnborough International Air Show, England pada 11 – 15 Julai 2016 yang lalu bagi mempromosikan industri aero angkasa di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.