Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

103) KESALAHAN HUTAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kes kesalahan hutan yang telah berjaya dikesan oleh JPNS melibatkan kesalahan pencerobohan hutan dan penebangan pokok secara haram.

    Maklumat Kes Pencerobohan Hutan dan Penebangan Pokok   Secara Haram    dari Tahun 2018 – 2020 (Sehingga Jun 2020).

    Daripada tahun 2018 hingga 2020, sebanyak 52 kes pencerobohan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penebangan pokok secara haram telah dikesan dan direkodkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Daripada 52 kes tersebut, sebanyak 2 kes telah dihadapkan di mahkamah dan telah dikenakan denda dan penjara, 6 kes telah diselesaikan dengan cara kompaun, 16 kes tiada tindakan lanjut (NFA) dan 28 kes masih dalam siasatan lanjut. Sebanyak 29 kes telah direkodkan berlaku di dalam Daerah Hutan Pantai Klang, 16 kes di Daerah Hutan Selangor Tengah dan 7 kes di Daerah Hutan Hulu Selangor. Daripada 52 kes yang dilaporkan ini melibatkan sejumlah 49 orang yang telah ditangkap kerana didapati melakukan aktiviti pencerobohan di dalam HSK dan penebangan pokok secara haram. Jumlah keseluruhan kompaun dan denda yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2018 – 2018 adalah sebanyak RM 105,000.00.

    Berikut merupakan pecahan jumlah kes pencerobohan hutan dan penebangan pokok secara haram mengikut tahun adalah seperti berikut :

    Pada tahun 2018, terdapat 23 kes pencerobohan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penebangan pokok secara haram telah dikesan berlaku di negeri Selangor. Daripada 23 kes tersebut, 2 kes telah dituduh di mahkamah dan dikenakan denda dan penjara, 4 kes berjaya diselesaikan dengan cara mengenakan kompaun kepada pesalah, 6 kes tiada tindakan diambil (NFA) dan 11 kes masih dalam siasatan. Seramai 25 orang telah ditangkap kerana melakukan pencerobohan di dalam hutan simpanan kekal. Jumlah keseluruhan denda dan kompaun yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM 48,000.00. Berikut merupakan rekod kes pencerobohan hutan dan penebangan pokok secara haram pada tahun 2018 seperti Jadual 1 :

    Pada tahun 2019, terdapat 20 kes pencerobohan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan penebangan pokok secara haram telah dikesan berlaku di negeri Selangor. Daripada 20 kes tersebut, 2 kes berjaya diselesaikan dengan cara mengenakan kompaun kepada pesalah, 10 kes tiada tindakan diambil (NFA) dan 8 kes masih dalam siasatan. Seramai 12 orang telah ditangkap kerana melakukan pencerobohan di dalam hutan simpanan kekal. Jumlah kompaun yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM 57,000.00. Berikut merupakan rekod kes pencerobohan hutan dan penebangan pokok secara haram pada tahun 2019 seperti Jadual 2 :

    Pada tahun 2020, terdapat sembilan (9) kes pencerobohan Hutan Simpanan Kekal (HSK) telah dikesan berlaku di negeri Selangor. Kesemua kes tersebut masih dalam siasatan lanjut dan seramai dua belas (12) orang telah ditangkap kerana melakukan pencerobohan di dalam kawasan HSK. Berikut merupakan rekod kes pencerobohan hutan pada tahun 2020 seperti Jadual 3:

  2. Apakah mekanisme pihak berwajib dalam mengenakan tindakan undang-undang kepada pesalah yang sukar dikesan ketika melakukan kesalahan hutan seperti pembakaran terbuka

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sentiasa komited dalam memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) terus dipertahankan dan dipelihara bagi memastikan pengurusan sumber hutan secara berkekalan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu ataupun pihak yang didapati telah melakukan kesalahan seperti menceroboh dan melakukan pembakaran di kawasan HSK yang mana pihak berkenaan akan dihukum sewajarnya mengikut mana-mana seksyen yang berkaitan seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor.

    Bagi tujuan tersebut, JPNS telah melaksanakan kaedah pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan hutan melalui pendekatan seperti berikut:

    i. Rondaan Berkala

     JPNS menjalankan rondaan secara berkala di sepanjang sempadan luar dan dalam HSK. Rondaan bermotorsikal turut dijalankan bagi kawasan-kawasan yang sukar dihubungi dengan kenderaan pacuan empat roda.Tumpuan khusus sentiasa diberikan terhadap kawasan-kawasan yang berhampiran dengan penempatan dan aktiviti orang awam seperti di kawasan-kawasan pertanian yang berhampiran HSK.

    ii. Pemantauan melalui Imej Satelit

    Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (IPJPSM) dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) telah membangunkan sistem yang dikenali sebagai Sistem e-Geospatial Perhutanan (e-GP) dan ‘Forest Monitoring Using Remote Sensing’ (FMRS). Dalam sistem ini, pemantauan kawasan ‘hot-spots’ dan sebarang aktiviti pencerobohan hutan akan dikesan melalui perubahan imej satelit. Sistem ini berfungsi untuk memantau aktiviti hutan secara makro dan mikro secara cepat dan efisien dengan menggunakan imej satelit beresolusi tinggi dan terkini.

    iii. Drone

    JPNS turut tidak ketinggalan mengaplikasikan teknologi di dalam aspek penguatkuasaan hutan dengan menjalankan pemantauan udara dengan menggunakan drone dari jenis Dji Phantom 4 untuk menjalankan pemantauan di dalam HSK.

    iv. Aduan Awam

    JPNS menerima maklumat daripada pelbagai sumber termasuklah media sosial seperti facebook, e-mel, telefon, surat dan lain-lain lagi bagi membantu pihak jabatan untuk membuat pengesanan awal aktiviti pencerobohan di HSK.

    v. Papan Tanda HSK

    JPNS telah memasang papan tanda larangan memasuki HSK terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko berlaku kebakaran dan pencerobohan.

    vi. Penglibatan NGO dan Komuniti Tempatan.

    Penyertaan dan penglibatan masyarakat dalam program pemulihan hutan gambut telah dimulakan pada November 2008 dengan kerjasama JPNS, Global Environment Centre (GEC) dan Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara (SHGSU). Dalam merealisikan tujuan ini, semua pihak seharusnya memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

    Kepesatan pembangunan tanah di sekeliling kawasan HSK dan Hutan Paya Gambut khasnya merupakan satu cabaran kepada JPNS bagi memastikan integriti dan kelestarian hutan ini dapat dipertahankan untuk generasi akan datang.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.